PAS sambut baik BN undur diri di Seri Setia

PAS sambut baik BN undur diri di Seri Setia

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan Umno itu akan dibawa ke peringkat pusat untuk dibincangkan.

Free Malaysia Today
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi (3 dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno selepas solat Jumaat hari ini.
SHAH ALAM:
PAS menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada parti Islam itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi percaya keputusan Umno itu akan disambut baik partinya, selepas dibincangkan di peringkat Pusat.

“Saya sangat mengalu-alukan pendirian, keputusan dan ketegasan dibuat BN dan Umno, DUN Seri Setia akan diberikan laluan kepada PAS.

“PAS negeri akan bawa keputusan ini untuk dibincangkan di peringkat Pusat. Walau apapun keputusannya, kita harapkan yang terbaik demi kekuatan Islam dan Melayu,” katanya sewaktu ditemui di DUN Sungai Kandis, hari ini.

Terdahulu, Umno memutuskan untuk memberi laluan kepada PAS bertanding dalam PRK Seri Setia.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini ialah titik permulaan dan persefahaman antara 2 parti itu sebagai gerakan politik baru di bawah Malaysia baru.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir memberitahu FMT, pendekatan satu lawan satu mencerahkan peluang pembangkang untuk merampas kerusi yang merupakan kubu kuat PKR itu.

“Jentera PAS tempatan bersedia memainkan peranan dalam PRK Seri Setia, tertakluk kepada keputusan PAS Pusat.

“Ia suatu langkah positif, hubungan kerjasama antara PAS dan Umno bagi menghadapi Pakatan Harapan. Ia juga bagi memastikan proses semak dan imbang terus terjamin di Selangor.

“Kita sudah tunjukkan keikhlasan kita membantu calon BN di DUN Sungai Kandis, begitu juga kita harapkan untuk Umno buktikan keikhlasan kepada PAS di DUN Seri Setia,” katanya.

Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia petang semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Shaharuddin, 55, menghidap kanser usus tahap 4.

Pada pilihan raya umum ke-14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff (9,878), calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, S Vigneswaran (217).

Di Seri Setia, giliran PAS wakili pembangkang, kata Umno

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.