Dr M: Siapa lagi saya akan jatuh cinta, kalau bukan Hasmah

Dr M: Siapa lagi saya akan jatuh cinta, kalau bukan Hasmah

Perdana menteri berkongsi rahsia bagaimana beliau bertemu jodoh dengan Siti Hasmah yang dikahwininya sejak 62 tahun lalu.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad berkata mereka belajar untuk menerima perbezaan antara satu sama lain sebagai resepi rumahtangga yang bahagia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bermula sebagai rakan sekuliah dalam bidang perubatan di Singapura, jodoh pasangan paling popular Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkekalan sejak pertemuan pertama mereka lebih 70 tahun lalu.

Pasangan itu bertemu pada 1946 di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura, yang kini menjadi sebahagian Universiti Kebangsaan Singapura.

Mereka berkahwin pada 1956 selepas berkhidmat sebagai doktor dalam perkhidmatan awam. Mereka memperoleh 7 anak termasuk aktivis sosial terkemuka Datin Paduka Marina Mahathir dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Walaupun banyak masa Dr Mahathir dihabiskan untuk negara selepas kembali aktif dalam arena politik sejak kemenangan mengejut pada pilihan raya umum 9 Mei selepas 15 tahun bersara, beliau dan Siti Hasmah masih menjadi tumpuan umum berhubung hubungan mereka yang dimuat naik dan disebarkan menerusi gambar dan kiriman di media sosial.

Dalam temu bual eksklusif dengan CNN baru-baru ini, Dr Mahathir mendedahkan mengenai perkahwinannya dan rahsia bagaimana mereka kekal bahagia selama 62 tahun.

Apabila ditanya apakah faktor yang menyebabkan beliau tertarik dengan Siti Hasmah, dia ketawa dan berkata: “Sebenarnya, tidak ramai gadis pada masa itu dan dia adalah satu-satunya gadis yang mengambil kursus perubatan yang juga orang Melayu.

“Jadi secara semulajadi, kita tertarik kepada satu-satunya gadis dalam kumpulan dan akhirnya, saya jatuh cinta kepadanya.”

Beliau memberitahu CNN, pada masa itu tidak ramai wanita menyambung pelajaran di universiti tetapi Siti Hasmah bertekad untuk belajar ke peringkat universiti.

“Itu, saya fikir, mencerminkan kekuatannya.”

Mengenai rahsia perkahwinan yang kekal bahagia, beliau berkata mereka belajar untuk bertolak ansur satu sama lain meskipun mereka sering bertengkar tentang perkara seperti masa, kerana beliau seorang yang menepati masa sedangkan Hasmah selalu lambat.

Sebaik sahaja mereka menyedari mereka tidak boleh mengubah antara satu sama lain, katanya, mereka belajar untuk menerima perbezaan antara satu sama lain.

Mengulas tentang kesediaan Siti Hasmah untuk “berkongsi” beliau dengan negara ini pada peringkat umur sekarang, beliau berkata: “Dia merasakan cara yang sama tentang perkara yang saya percaya – kesetiaan, negara, bekerja untuk negara dan semua itu.

“Dia menemani saya ke mana sahaja saya pergi, dan dia, dalam erti kata lain, juga menumpukan kepada idea kesetiaan dan patriotik seperti saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.