
Bercakap kepada FMT, Wee menyambut baik langkah Bestinet Sdn Bhd menjelaskan peranannya dalam proses pengambilan pekerja serta caj yang dikenakannya ke atas agensi pengambilan pekerja dan bagi penapisan kesihatan setiap pekerja di negara sumber.
Selasa lepas, Bestinet mengemukakan penjelasan terperinci peranannya dalam proses pengambilan, dan memaklumkan bahawa syarikat itu merupakan salah satu daripada 4 syarikat yang terlibat dengan negara sumber pekerja.
Menurut Bestinet, di negara sumber terdapat 4 proses yang perlu dilalui oleh pekerja yang mahu bekerja di Malaysia, iaitu pemeriksaan biometrik, penapisan kesihatan, penerimaan dan pemprosesan pasport pekerja untuk mendapatkan visa (OSC) dan sistem dan masukan data untuk visa (VLN).
“Kami adalah salah satu daripada 4 syarikat penyedia perkhidmatan. Kami hanya mengendalikan penapisan kesihatan dan Kementerian Dalam negeri membenarkan kami mengenakan caj RM100,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bestinet, Ismail Mohd Noor.
Beliau berkata, fi itu tidak dibayar secara tunai atau dikutip daripada pekerja asing, sebaliknya daripada agensi pengambilan yang perlu memasukkannya ke dalam bank.
Wee berkata, oleh sebab peranan dan fi Bestinet kini diketahui umum, perlu dijelaskan sekarang ialah 3 syarikat penyedia perkhidmatan lain.
FMT difahamkan penyedia perkhidmatan bagi pemeriksaan biometrik ialah S4 Sdn Bhd dan bagi VLN ialah Ultra Kirana Sdn Bhd, sementara bagi OSC, syarikat penyedia perkhidmatannya berbeza mengikut negara sumber.
“Oleh sebab timbul persoalan berikutan keputusan kerajaan Nepal menghentikan penghantaran pekerjanya ke Malaysia kerana isu syarat imigresen yang ketat, saya fikir orang awam perlu tahu semua maklumat tentang isu ini.
“Semua pihak berkepentingan berhak tahu bagaimana kita tiba kepada masalah ini.”
Dalam pada itu, sumber daripada industri keselamatan berkata, ejen yang tidak bertanggungjawab memindahkan kos pelbagai keperluan ini kepada pekerja.
“Ini tidak masuk akal dan kerajaan Nepal mahu ia dihentikan. Ia juga memberi kesan kepada syarikat keselamatan kita kerana mereka menuntut gaji lebih tinggi untuk membayar kos itu.
“Oleh sebab itu tuntutan gaji pekerja keselamatan Nepal sangat tinggi iaitu pada purata RM2,000, dan ini tidak termasuk tempat tinggal dan faedah lain.”
Menurut sumber, masalah dihadapi syarikat keselamatan tempatan ialah kebanyakan pelanggan mereka mahukan pengawal Nepal kerana pekerja tempatan mempunyai masalah disiplin.
“Kesemua syarat keperluan ini adalah seumpama tol yang menguntungkan sesetengah pihak dn merugikan perniagaan serta pekerja asing.”
Seorang ejen pengambilan pekerja Nepal yang mahu dikenali sebagai Ram berkata, mereka diberitahu tentang pemberhentian oleh pihak berkuasa Nepal itu disebabkan pelbagai fi dikenakan ke atas pekerja negara itu di Malaysia.
Kata beliau, ia memberi kesan besar ke atas perniagaannya, dan beliau menerima paling sedikit 500 permintaan pekerja setiap minggu. Beliau berharap isu berkenaan dapat diselesaikan pada hujung minggu ini.