HFMD: Jangan abai jumpa doktor kerana rawatan tradisional

HFMD: Jangan abai jumpa doktor kerana rawatan tradisional

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata ibu bapa perlu membawa anak yang dijangkiti HFMD berjumpa doktor bagi mengenal pasti tahap jangkitan.

Free Malaysia Today
Lee Boon Chye berkata penggunaan vaksin bagi merawat dan mencegah HFMD tidak boleh dilaksanakan dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
IPOH:
Ibu bapa tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional bagi merawat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga mengabaikan keperluan untuk membawa anak mereka berjumpa doktor.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata adalah penting ibu bapa membawa anak mereka yang dijangkiti HFMD berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti tahap jangkitan.

“Memang ada cara berlainan (merawat HFMD), tapi yang paling penting adalah menjaga kebersihan. Kita tidak galakkan (ibu bapa) tidak bawa anak jumpa doktor kerana bergantung kepada kaedah tradisional.

Kebanyakan jangkitan HFMD tidak serius dan kebanyakannya pulih sendiri dan setakat tahun ini, 2 kematian dilaporkan berbanding tiada pada tahun lepas dan tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia ke-21, hari ini.

Dr Lee mengulas mengenai beberapa perkongsian kaedah rawatan HFMD secara tradisional di laman sosial, sehingga ada yang sama sekali tidak membawa anak yang dijangkiti untuk berjumpa doktor.

Selain itu, Lee meminta pihak pentadbiran sekolah, taska dan tabika agar tidak menyembunyikan sebarang kes HFMD kerana ia akan merumitkan lagi keadaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan penggunaan vaksin bagi merawat dan mencegah HFMD, Lee berkata ia tidak boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Penghasilan vaksin dan usaha untuk membawa ia masuk ke dalam negara mengambil masa. Jadi buat masa ini kaedah pencegahan paling penting adalah menerusi penjagaan kebersihan seperti membasuh tangan,” katanya.

Selasa lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mendapat beberapa syor dan cadangan mengenai pencegahan HFMD termasuk vaksin yang sedang diusahakan di Taiwan sementara di Singapura pula kajian dan pembangunan masih dijalankan.

Mengenai persidangan tersebut, Dr Lee berkata lebih 800 orang menyertai acara 4 hari itu yang bermula semalam bertujuan memperkasa peranan pakar perubatan keluarga dalam masyarakat.

“Saya cadangkan supaya komuniti kalau boleh adakan konsep doktor keluarga, jangan melompat-lompat (bertukar-tukar doktor) agar perkhidmatan kesihatan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Menteri: Pusat jagaan dikenakan tindakan jika HFMD meningkat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.