
“Saya tak tahu, saya tak dengar. Dia tak pernah kata pun,” kata perdana menteri selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) di bangunan Parlimen, hari ini.
Beberapa rakaman audio pendek tersebar di media sosial, di mana suara yang menyerupai Anwar mengecam Azmin sebagai barua Dr Mahathir dan mengakui meminta Rafizi Ramli mencabar timbalan presiden PKR itu.
“Sebab itu saya suruh Rafizi lawan Azmin sebab Azmin nak jadi barua kepada Mahathir,” demikian menurut suara yang menyerupai ketua umum PKR itu.
Mengenai dakwaan beliau dan Azmin bekerjasama menjatuhkan Anwar, Dr Mahathir berkata, beliau tidak campur tangan dalam urusan PKR.
“Adakah anda lihat saya bercakap buruk mengenai Anwar atau Azmin atau orang lain? Ini parti mereka, saya tak campur tangan.”
Kelmarin, Anwar menepis spekulasi Dr Mahathir mempergunakan Azmin untuk menyekat pengaruhnya dalam PH dan kerajaan.
“Dari segi menyekat peranan saya, pengaruh saya, secara jujur saya tidak risau. Saya tahu kekuatan parti saya dan hubungan saya dengan rakan-rakan gabungan (PH),” kata Anwar.
Sementara itu, Azmin berkata, beliau tidak tahu mengenai rakaman audio itu.
“Saya belum dengar, saya belum tengok, saya tak tahu,” katanya menteri hal ehwal ekonomi itu.