
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata pihaknya masih meneruskan pendekatan yang dicetuskan kerajaan lama Barisan Nasional mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“KPM masih meneruskan penggunaan SOP sedia ada, di mana perkara utama yang akan diambil perhatian KPM untuk meluluskan permohonan pertukaran guru melibatkan kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan pilihan di negeri yang dipohon.
“KPM memberi keutamaan kepada pemohon atas alasan mengikuti pasangan, selain turut menimbangkan kelulusan bagi kes lain seperti kes sakit kronik dan ancaman keselamatan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berhubung status terkini permohonan guru “duka lara” dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke Semenanjung Malaysia.
Maszlee berkata, antara faktor yang menyebabkan kelewatan meluluskan permohonan pertukaran guru ialah kekurangan guru pengganti khasnya membabitkan subjek pendidikan Islam.
“Ianya banyak bergantung kepada faktor seperti guru memohon bertukar itu merupakan guru yang mengajar kelas peperiksaan pada tahun ini dan permohonan mereka akan diproses selepas tamat peperiksaan.
“Faktor lain ialah guru yang mengajar subjek kritikal seperti pendidikan Islam di Sabah dan Sarawak, kalau mereka ditukarkan, maka kita akan hadapi kekurangan guru bagi subjek itu.”
Beliau berkata, seramai 5,573 guru memohon berpindah dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung berbanding 857 guru yang ingin ke Sabah dan Sarawak untuk mengajar.
Kementerian Pendidikan meluluskan 11,606 permohonan pertukaran kes guru “duka lara” dari 1 Januari 2016 hingga 1 Januari 2018.