
“Kita akan mengumpulkan pakar ekonomi daripada pelbagai sektor untuk membincangkan langkah yang akan diambil untuk memperkukuh keadaan ekonomi Bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan mengambil pendekatan agihan yang adil untuk kaum lain.
Azmin memetik beberapa data berkata, pendapatan purata isi rumah Bumiputera berbanding bukan Bumiputera pada 2016 adalah RM6,267 berbanding RM8,213 manakala peratus transaksi pemilikan kediaman dalam pasaran primer oleh Bumiputera berbanding bukan Bumiputera pada tempoh yang sama adalah 38.8% (RM5.63 bilion) berbanding 56.7% (RM8.23 bilion).
“Bagi pemilikan komersial, peratus transaksi Bumiputera hanyalah 9.8% (RM21 juta) berbanding bukan Bumiputera iaitu 46% (RM1.01 bilion),” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Fadillah Yusof (PBB-Petra Jaya) yang mencelah menyarankan wakil dari negeri yang kurang membangun seperti Sabah, Sarawak dan Kelantan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilibatkan dalam kongres tersebut.
Beliau berkata langkah itu bertujuan mendapatkan pandangan dan pendapat keseluruhan yang memberi manfaat kepada semua pihak.
“Saya hendak melihat apakah perancangan menteri mengenai kongres ekonomi Bumiputera dan setakat mana penglibatan rakyat dari kawasan berkenaan dalam kongres tersebut.
“Adakah wakil dari negeri-negeri ini dilantik di dalam GLC itu supaya suara negeri yang agak mundur ini akan dibawa bersama-sama dalam perbincangan serta dasar perancangan untuk memastikan sosioekonomi yang lebih menyeluruh dalam pembangunan negara,” katanya.