
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, bagi tempoh antara 2015 hingga 2017, sebanyak 47 kes gangguan seksual dilaporkan melibatkan penjawat awam.
“Hukuman tertib terhadap pesalah telah diambil antaranya 20 amaran dikeluarkan, 4 dikenakan denda, 9 ditangguh pergerakan gaji, 6 turun gaji, 1 turun pangkat dan 6 telah dibuang kerja.
“Kita dengar maklum balas daripada pegawai-pegawai kerajaan bahawa mereka sememangnya tidak tahu mengenai garis panduan ini apabila berdepan dengan gangguan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Siti Zailah Muhd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat.
Katanya, jumlah kes yang kurang dilaporkan daripada sektor swasta juga berpunca daripada kurang kesedaran daripada mangsa.
“Bagi sektor swasta pula, jumlah kes yang telah dilaporkan ke Kementerian Sumber Manusia dan agensinya tahun ini sehingga Jun adalah 15 kes di mana 13 daripadanya telah selesai dan bakinya masih dalam tindakan.
“Laporan kes-kes ini rendah kerana kod amalan ini sebenarnya tidak diwajibkan di syarikat-syarikat swasta dan disebabkan itu ramai tidak sedar hak mereka,” katanya.
Hannah berkata, kementerian akan mengadakan lebih banyak kempen untuk mendidik pegawai kerajaan bagi mengetahui hak mereka.
“Kadang-kadang kalau mangsa adalah pegawai yang bekerja di bawah pesalah laku tersebut, mereka akan merasa takut.
“Sebab itu, kempen-kempen kesedaran dan mendidik ini perlu diadakan supaya mereka tahu hak masing-masing dan garis panduan yang ada,” katanya.
Menteri: Badan siasatan bebas siasat isu gangguan seksual doktor pelatih