Gaji Arul RM5 juta setimpal dengan tugas, kata Najib

Gaji Arul RM5 juta setimpal dengan tugas, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata bayaran itu perlu dinilai dalam konteks yang positif kerana ia tidak setanding kejayaan Arul menguruskan 1MDB.

Free Malaysia Today
Najib Razak berkata gaji Arul Kanda lebih tinggi dan lumayan ketika bekerja di sebuah bank di UAE.
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan pembayaran gaji kontrak bekas pegawai eksekutif 1MDB, Arul kanda sebanyak RM5 juta selama 6 bulan sebagai satu perkara yang baik dan setimpal dengan tanggungjawab dan peranannya dalam syarikat itu.

Najib berkata, bayaran itu perlu dinilai dalam konteks yang positif kerana ia tidak setanding kejayaan Arul menguruskan 1MDB.

“Beliau berjaya mengurangkan hutang syarikat daripada RM50 bilion kepada RM30 bilion,” katanya ketika ditemui di perkarangan lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Najib menyetujui pakej gaji RM5 juta untuk Arul.

Lim memberitahu Dewan Rakyat separuh daripada pembayaran dibuat bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Katanya, baki RM2.5 juta itu sepatutnya dibayar selepas 30 Jun 2018, tetapi tidak berlaku kerana bertukar kerajaan.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Pekan itu berkata berkata banyak mana pun jumlah yang diberikan kepada Arul adalah lebih rendah dan kecil berbanding pendapatan yang diterima beliau sebelum mengendalikan 1MDB.

“Beliau dapat gaji yang lebih tinggi dan lumayan ketika bekerja di sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Namun beliau sanggup melepaskan gaji yang lebih besar untuk berkhidmat di dalam 1MDB,” katanya.

Ketika ditanya tentang dakwaan beliau berkunjung ke China untuk bertemu Low Teak Jho atau Jho Low, Najib hanya menafikan dakwaan tersebut tanpa mengulas lanjut.

“Tidak,” jawabnya.

Pakej gaji RM5 juta untuk Arul Kanda dipersetujui Najib, kata menteri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.