Umur mengundi 18 tahun: Umno sasar ahli lebih muda

Umur mengundi 18 tahun: Umno sasar ahli lebih muda

Reaksi bercampur baur berhubung langkah Umno menurunkan umur kelayakan menjadi ahli kepada 16 tahun.

Free Malaysia Today
Pelajar sekolah kini boleh menjadi ahli Umno selepas parti itu menurunkan umur kelayakan menjadi ahli.
PETALING JAYA:
Pemerhati bersetuju keputusan Umno membenarkan individu berumur 16 tahun menjadi ahli adalah usaha mempromosi parti itu kepada generasi muda, terutama sekali apabila ia dibuat pada ketika kerajaan merancang menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun berbanding sekarang 21 tahun.

Seorang penganalisis politik mempersoalkan langkah itu dan menyifatkannya sebagai ironis kerana ia muncul daripada parti yng selama ini mempertahankan undang-undang yang bertujuan menghalang mahasiswa universiti daripada terlibat dalam politik kepartian.

Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, langkah tersebut mungkin berpunca daripada tekanan dihadapi parti itu untuk melakukan penjenamaan semula berikutan kekalahan besarnya dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Saya fikir mereka tidak mempunyai pilihan selain memperluaskan asas keahlian. Mereka kini merupakan pembangkang jadi perlu mendapatkan sebanyak mungkin sokongan,” kata Kamarul kepada FMT.

Namun begitu kata Kamarul, langkah itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana umur minimum keahlian parti lain tidaklah terlalu berbeza.

Kata beliau, had umur minimum baru keahlian Umno hanyalah satu tahun lebih rendah daripada DAP (17 tahun), sementara PAS membenarkan rakyat Malaysia yang mencapai umur akil baligh menjadi ahli, yang bermakna 13 tahun bagi perempuan dan 15 untuk lelaki.

Kamarul berkata Pendaftar Pertubuhan (RoS) perlu menyeragamkan had umur untuk mana-mana orang menyertai parti politik.

“Mungkin 18 tahun sesuai kerana ia selaras dengan cadangan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun,” katanya, merujuk kepada rancangan kerajaan untuk mengubah umur layak mengundi daripada 21 kepada 18.

Bagaimanapun kata Kamarul, sukar bagi Umno menjadikan parti itu relevan semula kepada generasi muda.

Beliau berkata, bagi menarik orang muda, parti itu perlu melihat melampaui isu kaum dan memberi fokus kepada soal governans baik dan isu nasional.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan keputusan untuk menurunkan had umur keahlian parti itu daripada 18 kepada 16 tahun sebagai sebahagian daripada beberapa perubahan strukturalnya.
Beliau berkata, di peringkat dunia 15 tahun diterima sebagai umur golongan muda.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Umno perlu mengkaji seramai mana ahli mudanya benar-benar aktif dalam parti dan kenapa generasi muda menolaknya dalam pilihan raya lepas.

“Mereka pelu melihat bagaimana mereka boleh mengelak daripada melakukan kesalahan yang sama. Ini lebih penting daripada cuba mendapatkan ahli lebih muda semata-mata.”

Sementara itu, beberapa pihak lain seperti kesatuan guru di Sarawak kurang senang dengan langkah itu kerana 16 tahun masih merupakan umur persekolahan.

“Jika pelajar sekolah mengambil bahagian dalam politik maka sukar bagi mereka memberi tumpuan kepada pelajaran. Ia juga akan membuka pintu untuk politik memasuki sekolah,” kata presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Jisin Nyuk.

Di pihak lain kata Jisin, mahasiswa universiti dianggap telah dewasa dan matang.

“Selain itu, sekolah menengah adalah wajib, tidak seperti universiti,” kata beliau.

Jisin berkata perlu ada undang-undang bagi menghalang pelajar sekolah menyertai politik.

Bagi sesetengah pihak lain, perbezaan pendapat yang wujud berhubung isu ini berkait rapat dengan sifat politik Malaysia itu sendiri.

Kumpulan berkait pendidikan yang lantang, Parent Action Group for Education (PAGE) berkata, politik berasaskan kaum di Malaysia tidak sesuai berada di sekolah, dan menambah bahawa sekolah seharusnya menjadi tempat generasi muda berintegrasi.

“Kanak-kanak tidak harus terlibat dalam politik, itu pendirian kami,” kata setiausaha PAGE, Tunku Munawirah Putra.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.