Forum mengenai Darurat Malaya panas

Forum mengenai Darurat Malaya panas

Perbincangan panel diganggu tetapi moderator majlis berjaya menenangkan keadaan, dan seorang yang terlibat meminta maaf.

Free Malaysia Today
Beberapa orang hadirin forum bertajuk ‘A People’s History of Malayan Emergency’ meninggikan suara sehingga memaksa moderator majlis Imran Rasid, bertindak menenangkan keadaan.
KUALA LUMPUR:
Forum mengenai Darurat Malaya panas seketika apabila beberapa orang hadirin mempersoalkan sekiranya majlis itu dan ahli panel cuba mewajarkan keganasan yang dilakukan semasa tempoh Darurat itu.

Beberapa orang hadirin forum bertajuk “A People’s History of Malayan Emergency” meninggikan suara sehingga memaksa moderator majlis Imran Rasid, bertindak menenangkan keadaan.

“Maaf tuan, kami hanya mahu berdialog,” kata Imran kepada pengganggu majlis itu. “Anda akan dapat peluang, tiada masalah. Kita ada peraturan. Benarkan ahli panel selesai bercakap dulu.”

Imran terpaksa menegaskan beberapa kali bahawa hadirin boleh bertanya soalan pada masa ditetapkan.

Beliau juga berkata, perbincangan hari ini adalah berkaitan buku teks sejarah, dan perbincangan mengenai zaman Darurat telah berlangsung semalam.

Imran berkata, jika ada dalam kalangan hadirin tidak berpuas hati dengan mana-mana ahli panel, maka beliau boleh bertanya soalan kemudian.

Ahli panel forum terdiri daripada artis grafik dan aktivis Fahmi Reza dan peguam Fadiah Nadwa Fikri. Mereka memberitahu, forum tersebut bertujuan menimbulkan persoalan kenapa fakta dan perspektif sejarah Malaysia yang lain, seperti daripada kalangan golongan dan personaliti kiri, tidak dimasukkan ke dalam buku teks dan perbincangan.

Keadaan menjadi tenang selepas itu sekali gus memungkinkan sesi soal jawab berjalan dengan tenang, malah seorang pengganggu majlis turut meminta maaf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.