
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, pelantikan ahli majlis tempatan dibuat secara sebulat suara kerana “tiada sesiapa yang mendapat semua dan kesemua kumpulan berkepentingan diberi tempat”.
Exco negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha, yang juga ketua sayap Wanita PKR Selangor bekata, proses pemilihan calon melibatkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, parti politik, NGO dan individu.
“Kami terima banyak nama, dan pemilihan dibuat selepas itu,” katanya.
Bagaimanapun, pemimpin Pemuda PKR, Syukri Razab berkata, kepimpinan parti perlu menjelaskan bagaimana proses pemilihan dan penapisan ahli majlis tempatan dibuat, dan bagaimana keputusan mengenainya diambil.
“Mereka juga perlu memandang serius cadangan yang dibuat oleh kumpulan dan pihak lain,” katanya kepada FMT.
Semalam, setiausaha AMK PKR negeri, Syed Badli Shah Syed Osman meletak jawatan dengan berkata, “adalah jelas pelantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan kesetiaan kepada kabilah tertentu dan tidak dibuat berdasarkan merit.”
Beberapa pemimpin parti menggunakan pelantikan politik sebagai habuan kepada penyokong, katanya, dan perbezaan pendapat tidak dierima oleh pemimpin negeri yang “angkuh”.
Kritikan Syed Badli Shah muncul ketika PKR sedang bersiap-siap untuk menjalankan pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.
Sebelum itu, seorang lagi naib presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata, dakwaan sebegitu memang dijangka daripada kelompok-kelompok dalam pemilihan parti.
Kedua-dua Tian Chua dan Haniza menolak keras dakwaan Syed Badli Shah.
Tian Chua berkata, kritikan itu tidak langsung menghormati pengundi dan kepercayaan orang ramai kepada PKR. “Ia perbuatan tidak berdisiplin dan angkuh,” katanya.
Beliau berkata, “mana-mana orang yang tidak dilantik tidak harus membuat bantahan secara terbuka,” sementara Haniza pula berkata, Syed Badli Shah tidak seharusnya memberi persepsi salah kepada media dengan menyuarakan rasa tidak puas hatinya begitu. “Apakah ia disebabkan anda tidak dilantik sebagai ahli majlis?,” tanya beliau.
Syed Badli Shah memberitahu FMT semalam, beliau tidak berminat dengan jawatan dan kritikannya juga terpakai kepada pelantikan ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan jawatan lain yang serupa.
Pemimpin Pemuda PKR Syukri berkata, pemimpin PKR perlu sedar tentang janji pilihan raya Pakatan Harapan mahu melantik ahli majlis tempatan berdasarkan merit. “Ahli majlis paling dekat dengan akar umbi. Mereka perlu diberikan ruang untuk mewakili komuniti masing-masing,” katanya.
Setiausaha AMK PKR Selangor letak jawatan, dakwa kronisme, nepotisme
MB Selangor kata dakwaan kronisme, nepotisme ‘kenyataan peribadi’
Naib presiden PKR tepis dakwaan nepotisme, kronisme dalam parti