
Beliau berkata, jika fungsi Mara dipecahkan kepada beberapa kementerian, sudah pasti ia sukar memberi tumpuan kepada pelaksanaan program melibatkan agenda Bumiputera.
“Macam mana pun kita tidak tahu apa perancangan Pakatan Harapan lagi, kita akan menilai…tetapi agenda Bumiputera itu perlu terus diperjuangkan dengan berkesan.
“Sebab Mara merupakan satu konglomerat yang besar, banyak cabangnya dan kita anggap ia amat penting untuk masa depan Bumiputera,” katanya selepas makan tengah hari di Restoran Pok Usop Ayam Kampung di Bandar Setia Alam, hari ini.
Najib mengulas usaha kerajaan merombak aktiviti utama Mara melalui konsep “pengasingan dan penyerapan” ke bawah beberapa kementerian seperti Kementerian Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Usahawan.
Mengenai perancangan kerajaan untuk menstruktur semula Khazanah Nasional Bhd susulan peletakan jawatan pengarah urusan dan ahli lembaga pengarahnya, beliau menegaskan semua jawatan itu tidak melibatkan lantikan politik.
Menurut Najib, meskipun lembaga pengarah syarikat dana nasional itu dipengerusikan perdana menteri, namun segala keputusan berpandukan nasihat ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang terdiri daripada golongan profesional.
Menurutnya, sewaktu mengambil alih Khazanah asetnya cuma RM33 bilion, namun ketika beliau meninggalkan syarikat itu, asetnya melonjak hampir RM134 bilion dan namanya tersohor di persada antarabangsa.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, peletakan jawatan pengarah urusan dan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional akan memberi ruang kepada kerajaan menyusun semula syarikat itu, memandangkan dasar pentadbiran baru berbeza dengan pentadbiran sebelum ini.