‘Kabinet belum bincang status Mara, isu bubar hanya spekulasi’

‘Kabinet belum bincang status Mara, isu bubar hanya spekulasi’

Timbalan menteri hal ehwal ekonomi berkata, ada akta khusus melindungi Mara dan jika kerajaan mahu membubarkan agensi itu, ia memerlukan masa yang panjang.

Free Malaysia Today
Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembubaran Mara hanya spekulasi di media sosial. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Isu pembubaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) hanya spekulasi pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap dakwaan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata setakat ini, Kabinet belum membincangkan status Mara dan pembubaran agensi itu hanya cakap-cakap yang tersebar di media sosial.

“Kerajaan belum memutuskan (mengenai Mara) dan ia hanya spekulasi yang berlegar di media sosial. Kita tunggu keputusan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pucuk pimpinan di mana kedudukan Mara.

“Jika ia tak sesuai, ia boleh dibincangkan, namun perlu diingatkan ada akta khusus mengenai Mara dan jika ingin dibubarkan, ia akan mengambil masa yang panjang (dan tidak semestinya berlaku),” katanya pada majlis kesyukuran sempena pelantikannya sebagai timbalan menteri anjuran PPBM Bahagian Ketereh di Perol hari ini.

Mengenai Himpunan Kebangkitan Ummah di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, hari ini yang didakwa bertujuan membela masyarakat Melayu dilihat terancam selepas kemenangan PH selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau berkata, naratif itu sengaja direka-reka pembangkang bagi meraih sokongan masyarakat.

“Isu hak keistimewaan bangsa Melayu (yang akan terhakis jika PH menang) adalah naratif Umno sebelum PRU14 lagi. Apabila PH menang, mereka ketandusan idea untuk serang dasar kita, jadi cara paling mudah adalah menakut-nakutkan orang Melayu.

“Untuk beri justifikasi, maka mereka memainkan naratif agenda Melayu terhapus dalam PH, padahal ia jauh sekali. Saya berharap rakyat tidak termakan dengan cerita-cerita sebegini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.