Guan Eng: Kenapa perlu diikat sentimen kaum?

Guan Eng: Kenapa perlu diikat sentimen kaum?

Setiausaha agung DAP itu berkata, MCA bersama PAS dan Umno mungkin ekstrem dalam aspek berbeza.

Free Malaysia Today
Lim Guan Eng berkata, MCA mengkritik beliau menjual bangsa kerana lebih prihatin kepada rakyat Palestin berbanding rakyat Malaysia, khususnya kaum Cina.
GEORGE TOWN:
Rakyat tidak patut diikat dengan sentimen perkauman sehingga hilang peri kemanusiaan mereka, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas isu perkauman dan agama dimainkan Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Lim bingung kerana ada parti pembangkang yang mendakwa DAP mengawal hal ehwal negara, tetapi parti lain pula mengatakan DAP dikuasai.

“Baru-baru ini, MCA hentam saya bahawa saya tak mahu akui saya seorang Cina, tapi seorang rakyat Malaysia.

“Saya memang seorang rakyat Malaysia, tapi berbangsa Cina. Tapi saya rakyat Malaysia dahulu, ini pun salah.

“Saya buat kenyataan mengenai Israel kerana mereka buat satu undang-undang yang menyatakan ini adalah negara Yahudi.

“Jadi, saya mengkritik kedudukan oleh rejim Israel, inipun saya dikritik oleh MCA bahawa prinsip saya jual bangsa kerana lebih prihatin kepada rakyat Palestin daripada rakyat Malaysia, khususnya kaum Cina.

“Takkan kita nak diikat lagi dengan sentimen perkauman (sehingga) kita hilang peri kemanusiaan kita.

“Bila kita lihat sesuatu yang tak betul, sungguhpun tak berlaku dalam negara kita, tapi di luar negara, takkan kita tak boleh luahkan atau buat kenyataan atas prinsip kemanusiaan?” katanya selepas merasmikan buku mengenai kenangan Bukit Bendera yang bertajuk “Healing Penang Hill” hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Penang Hill Corporation, Cheok Lay Leng dan Adun Air Itam, Joseph Ng.

Lim berkata, PAS dan Umno ekstrem dalam pandangan mereka dalam sesuatu aspek (anti-bukan Melayu), manakala MCA pula memainkan isu bertentangan.

“Kalau kita lihat di sini, ini dua-dua daripada suara pinggiran, inilah suara sumbang ekstremis yang cuba nak merobohkan, menghancurkan Malaysia.

“Mereka mungkin ekstrem dalam aspek berbeza, tetapi cukup pelik mereka boleh bekerjasama.

“Sekarang, Pakatan Harapan nak menjaga dan mewakili semua orang, tak kira dalam negara ataupun luar negara, apa salahnya? Kita nampak pilihan yang dibuat pada pilihan raya umum ke-14 adalah jelas.”

PRK Sungai Kandis akan berlangsung pada 4 Ogos ini, susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

PRK itu akan menyaksikan pertarungan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam dengan calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni serta calon bebas, K Murthy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.