Siram air panas terhadap ibu kandung OKU, lelaki dipenjara 2 tahun

Siram air panas terhadap ibu kandung OKU, lelaki dipenjara 2 tahun

Pemandu lori itu didakwa dengan sengaja mencederakan ibunya yang kudung tangan kanan menggunakan air panas pada Julai lepas.

Free Malaysia Today
Tertuduh turut menampar ibunya dan mengambil dompet mangsa.
KUALA LUMPUR:
Tindakan kejam seorang anak yang tergamak menyiram air panas terhadap ibu kandungnya yang kudung tangan kanan, sehingga melecur di bahagian leher, akhirnya membawa padah apabila dia dihukum penjara 2 tahun oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu ke atas Tan Lai Kim, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 17 Julai lepas.

Bapa anak 1 itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang suri rumah, Leong Ah Hua, 65, menggunakan air panas di sebuah rumah di Jalan 9/32, Taman Jinjang Baru pada 10 pagi, 17 Julai lepas.

Tan yang bekerja sebagai pemandu lori dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira mangsa dalam kes ini adalah ibu kandung tertuduh yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Ibu tertuduh adalah seorang OKU yang kudung tangan kanan, tindakan tertuduh yang terlalu mengikut perasaan dengan menyiram air panas kepada ibunya sendiri maka saya pohon hukuman setimpal kepada tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, Tan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara minimum dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga.

“Keluarga saya memerlukan saya dan saya mempunyai seorang anak berusia 2 bulan, isteri tidak bekerja. Saya benar-benar insaf,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku perselisihan faham antara mangsa dan tertuduh kerana mangsa enggan memberi duit kepada tertuduh menyebabkan tertuduh marah lalu menyiram air panas di bahagian belakang tengkuk sehingga mangsa mengalami lecur di bahagian leher.

Tertuduh juga menampar ibunya dan kemudian terus mengambil dompet mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.