
Beliau berkata pelantikan dibuat oleh jawatankuasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak.
“Saya ingin menyatakan bahawa pelantikan itu dibuat melalui sistem yang bersih.
“Oleh itu, calon yang dipilih adalah berdasarkan mereka yang mempunyai kebolehan dan pengalaman serta dilihat boleh menjadi penyelesai masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin mengeluarkan kenyataan itu susulan tindakan Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman meletakkan jawatan berkuatkuasa hari ini.
Syed Badli Shah dilaporkan mendakwa perletakan jawatan itu dibuat berikutan terdapat segelintir pemimpin PKR yang dilihat mengamalkan budaya kronisme dan nepotisme.
Dakwa Syed Badli Shah lagi, sikap mementingkan kroni juga semakin parah dalam usaha pembahagian jawatan politik apabila hanya pengikut kabilah tertentu yang akan diberi habuan dari segi jawatan.
Menurut Amirudin, yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, parti itu bersifat demokratik dan setiap anggota bebas mengeluarkan kenyataan peribadi masing-masing.
“Terpulang kepada beliau untuk memberi kenyataan peribadi dan meletak jawatan, itu adalah hak masing-masing,” katanya.