Calon BN masih tak baca isyarat rakyat, kata PKR

Calon BN masih tak baca isyarat rakyat, kata PKR

Saifuddin Nasution Ismail berkata rakyat sudah menolak pendekatan politik berasaskan kaum dan agama.

SHAH ALAM:
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Sungai Kandis gagal membaca isyarat bahawa rakyat menolak pendekatan politik perkauman dan agama.

Beliau percaya pendekatan itu akan menyebabkan Barisan Nasional tewas, berdasarkan keputusan pilihan raya 9 Mei lepas.

“Umno dan BN tidak pernah terpisah daripada pendekatan politik berasaskan kaum dan agama, semakin kuat memainkan sentimen kaum dan agama, Umno berpendapat mereka bertambah popular.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dengan menggunakan pendekatan politik sebegitu,” katanya ketika ditemui di Tesco Shah Alam hari ini.

Beliau hadir sebagai menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan untuk merasmikan program Citarasa Malaysia.

Saifuddin mengingatkan kunci perpaduan dalam masyarakat berbilang agama dan kaum adalah saling hormat-menghormati, bertolak-ansur dan saling memahami.

“Mereka menolak pendekatan politik seperti itu namun calon Umno di Sungai Kandis, iaitu Lokman Noor Adam ternyata masih belum dapat membaca isyarat rakyat tersebut,” katanya.

Terdahulu, Lokman dalam wawancara bersama FMT, mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terkenal dengan jolokan pembela kepentingan bangsa Melayu sudah beralih arah, kini menjadi membela parti DAP.

“Apa yang saya nampak, dia (Dr Mahathir) bukan lagi ultra Melayu, tetapi hari ini sudah menjadi ultra DAP, sebabnya semua hak istimewa orang Melayu sudah terhakis dan digantikan dengan hak istimewa orang DAP,” katanya.

Lokman dalam ceramahnya dilihat menekankan isu kepentingan agama Islam, hak dan kedudukan bangsa Melayu serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan statistik pilihan raya lepas, daripada 50,800 pengundi secara keseluruhan, 72% daripadanya adalah pengundi Melayu, Cina (12%), India (16%).

Lokman Adam janji selamatkan pusat tahfiz Zawawi

Dr M bukan lagi ultra Melayu, tetapi ultra DAP, kata Lokman Adam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.