Isu LTTE: Mujahid akan temukan Asri, Ramasamy secara tertutup

Isu LTTE: Mujahid akan temukan Asri, Ramasamy secara tertutup

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mahu tamatkan semua tuduhan liar dan meredakan keadaan antara kedua pihak.

Free Malaysia Today
Mujahid Yusof Rawa berkata pertemuan itu dibuat secara tertutup bagi mengelak kesan lebih buruk, selain menyelesaikan masalah dan bukannya untuk sensasi. (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Datuk Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainal Abidin akan mengadakan pertemuan 6 mata bulan ini.

Mujahid berkata pertemuan itu bagi meminta penjelasan mengenai dakwaan terhadap Ramasamy yang dikatakan terlibat dengan kumpulan militan, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka, selain meredakan keadaan antara kedua pihak.

“Alhamdulilah sejak saya berhubung dengan Ramasamy dan Dr Asri, kita lihat tuduhan di media sosial masa ini memerlukan satu pertemuan antara 2 pihak itu.

“Saya baru dapat persetujuan daripada 2 pihak. Mereka setuju untuk bertemu dengan saya sebagai orang tengah dan ianya tertutup dan saya minta diadakan di pejabat saya di Putrajaya,” katanya.

Mujahid berkata alasan untuk membuat pertemuan secara tertutup itu bagi mengelak kesan lebih buruk, selain menyelesaikan masalah dan bukannya untuk sensasi.

“Saya harap pertemuan 6 mata saya dan mereka dapat kita tamatkan semua tuduhan liar.

“Selagi mereka tidak bertemu, selagi itu diedarkan dan ditularkan pelbagai tuduhan terhadap Ramasamy. Biar dia jawab, dia pun sedia ditanya,” kata beliau.

Mujahid berkata setakat ini belum ada tarikh bagi pertemuan itu tetapi dijangka akan diadakan pada bulan ini dan akan dimaklumkan kepada media.

“Media boleh datang pada pertemuan itu tetapi boleh membuat liputan sebelum pertemuan dan selepas selesai pertemuan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan parti politik dan beberapa NGO mendesak siasatan terhadap Ramasamy, selepas tular gambarnya memberi penghormatan pada gambar senapang Kalashnikov, dan menerima kunjungan ahli politik India yang menyokong kumpulan pemisah Tamil di Sri Lanka.

Asri dilaporkan menggesa DAP menyatakan pendirian berhubung Ramasamy.

Bagaimanapun, Ramasamy kesal dengan gesaan Asri itu. Katanya, jika beliau seorang pengganas sudah tentu DAP tidak akan membenarkannya menyertai parti dan sudah lama ditangkap polis.

Semalam, Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow berkata lebih sesuai jika Ramasamy menjelaskan hubungannya dengan kumpulan LTTE.

“Lebih sesuai untuk Ramasamy memberi penjelasan sejelas-jelasnya kepada mana-mana pihak yang inginkan penjelasan, sebab beliau yang mengambil bahagian dalam misi keamanan,” katanya.

Lebih sesuai Ramasamy jelaskan hubungan LTTE, kata DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.