Azmin: 20% royalti minyak tidak akan dilaksana segera

Azmin: 20% royalti minyak tidak akan dilaksana segera

Menteri hal ehwal ekonomi berkata, ia hanya boleh dilaksanakan selepas Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda.

Free Malaysia Today
Azmin Ali berkata, kenaikan 20% royalti daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, akan memberi implikasi serius kepada kewangan Petronas dan kerajaan pusat. (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan pusat tidak dapat menyalurkan 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak dengan segera kerana perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Katanya, cadangan menambah pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20% itu dibuat berdasarkan pengiraan keuntungan bersih Petronas, bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar yang bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Cadangan tambah royalti petroleum kepada 20% ini adalah berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai dan bukan jumlah hasil pengeluaran kasar.

“Oleh itu, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20% hendak dilaksanakan, ia akan mengambil masa kerana perlu ada pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974.”

Azmin (PH-Gombak) berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) bilakah kerajaan pusat akan melaksanakan pemberian 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak.

Azmin berkata, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 secara adil.

Beliau berkata, kementeriannya akan memastikan pemberian royalti minyak yang adil, telus dan mengambil kira implikasi kewangan, selain berbincang dengan negeri pengeluar minyak untuk mencapai kata sepakat.

“Jawatankuasa ini akan mengkaji dan mencadangkan langkah pembetulan, termasuk hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semula jadi negara, minyak dan gas.

“Jika Petronas dikehendaki tambah royalti kepada 20% daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, ia akan beri implikasi serius terhadap kewangan Petronas dan kerajaan persekutuan.”

Beliau berkata, manifesto Pakatan Harapan tidak menetapkan jangka masa khusus untuk melaksanakan usaha itu kerana pelaksanaannya tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat semasa yang perlu dipatuhi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.