Amanah saran PH lantik ketua penyokong kerajaan, elak tak cukup korum

Amanah saran PH lantik ketua penyokong kerajaan, elak tak cukup korum

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, masalah tidak cukup korum timbul kerana PH hanya mempunyai ketua whip bagi setiap parti komponennya.

Free Malaysia Today
Khalid Samad mencadangkan semua ketua whip dalam setiap parti komponen PH berbincang dan memilih calon sesuai sementara menunggu Majlis Presiden PH membuat keputusan.
KUALA LUMPUR:
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mencadangkan Pakatan Harapan (PH) melantik ketua penyokong kerajaan dalam kalangan ahli Parlimen parti pemerintah untuk memastikan korum mencukupi di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, masalah tidak cukup korum kerana PH hanya mempunyai ketua whip bagi setiap parti komponennya.

“Maknanya, semua ahli Parlimen kerajaan perlu ada seorang ketua.

“Saya syorkan semua ketua whip duduk berbincang dan putuskan sesama mereka sementara menunggu keputusan Majlis Presiden,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat tertangguh 6 minit kerana tidak cukup korum dan ia disambung semula selepas 35 ahlI Parlimen berada dalam dewan.

Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1) menyatakan perlu ada 26 ahli Parlimen, tidak termasuk speaker untuk menyambung persidangan.

Khalid yang juga menteri wilayah berkata, ahli Parlimen PH mengadakan mesyuarat semalam, tetapi belum membuat keputusan berhubung pelantikan ketua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong akan meminta parti komponen PH mengadakan mesyuarat bagi memilih seorang ketua yang bertanggungjawab memastikan ahli Parlimen kerajaan memasuki dewan dan mempunyai korum secukupnya selepas loceng dibunyikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.