Lokman Adam janji selamatkan pusat tahfiz Zawawi

Lokman Adam janji selamatkan pusat tahfiz Zawawi

Lokman berjanji akan mempertahankan Maahad Tahfiz Al Fateh daripada diganggu penyokong Pakatan Harapan.

Free Malaysia Today
Zawawi (memegang mikofon) dan Lokman (di kananya) berkongsi mikrofon semasa bertemu pengundi.
KLANG:
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berjanji akan mempertahankan Maahad Tahfiz Al Fateh daripada diganggu penyokong Pakatan Harapan.

Calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni adalah pengetua sekolah agama itu.

“Jika mahu selamatkan pusat tahfiz, undilah saya. Saya akan pertahankan hingga darah terakhir saya. Ini janji saya,” katanya sewaktu berkempen di pasar malam Taman Seri Andalas, hari ini.

“Selama 61 tahun BN memerintah, tidak ada rakyat berani menghina Islam sebagai agama persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, hak istimewa Bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.”

Beliau dan Zawawi berkongsi mikrofon semasa kedua-dua calon turun menemui pengundi. Zawawi yang berdiri di sebelah Lokman hanya tertawa dengan janji itu.

Pada 7 Julai lepas, Tan Sri Zainuddin Maidin mencadangkan kerajaan menutup sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.

Bekas menteri penerangan itu berkata kerajaan mesti berani dan tegas membawa umat Islam kepada realiti dan keperluan terhadap sikap dinamik serta menolak kearaban sebagai keislaman.

Pada April tahun lalu, Zainuddin pernah menyarankan kerajaan menggantung atau menutup sekolah tahfiz swasta kerana ia bertumbuh liar, bersistem kuno dan tidak bertamadun yang mungkin membawa tragedi lebih besar.

Lokman meminta pengundi yang tidak berpuas hati dengan Pakatan Harapan selepas 70 hari memerintah negara agar menyuarakan bantahan mereka melaluinya.

“Pada 4 Ogos ini, bukan hendak pilih saya atau Zawawi tapi pungutan suara. Kalau anda berpuas hati undilah PKR. Tapi sekiranya anda merasakan PH perlu penuhi janji, undilah saya.”

Sementara itu, Zawawi sekadar memberi ucapan ringkas yang tertumpu kepada pembangunan modal insan, kerukunan masyarakat, dan menaiktaraf prasarana dan kemudahan asas.

“Saya akan fokuskan pembangunan yang lebih holistik mengikut pembangunan modal insan Selangor, merapatkan hubungan kaum, mengharmonikan kaum. Kita cuba membina negeri contoh kepada negeri lain,” katanya.

Zam saran menteri baru Mujahid tutup sekolah tahfiz

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.