
Beliau memberi contoh Barisan Nasional dahulu meletakkan syarat lulus mata pelajaran bahasa Malaysia (BM) dan Sejarah untuk mengiktiraf UEC.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan baru tidak menjelaskan perkara itu.
“Pendirian kerajaan terdahulu sebagai syarat mengiktiraf UEC perlulah lulus BM dan Sejarah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Pengiktirafan UEC antara janji dalam manifesto PH, tetapi Menteri Pendidikan, Maszlee Malik pada 19 Julai lalu berkata, perkara itu tidak termasuk dalam janji 100 hari pentadbiran PH.
Katanya, sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik, tanpa menggugat kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan.
Maszlee berkata, pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau “flip-flop” dalam perkara itu dan PH tidak mempunyai percanggahan, walaupun dibantah pelbagai pihak.
Idris berkata, syarat lulus 2 subjek itu penting, khasnya Sejarah supaya generasi muda tidak lupa jati diri kerana tidak tahu sejarah negara.
“Sejarah Malaysia perlu (lulus) dan sebagai seorang warganegara, kita perlu tahu sejarah negara.
“Sama juga jika seseorang nak jadi warganegara Amerika, (mereka akan) ditanya tentang sejarah Amerika.”
UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, sejak 1975, dengan sukatan pelajarannya dibangunkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana UEC tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil itu yang bermakna lepasan UEC boleh mencari pekerjaan dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.
Selangor turut menerima kemasukan lepasan UEC ke universiti milik negeri, manakala Pulau Pinang pula mengambil lepasan UEC bekerja dengan syarikat milik kerajaan negeri.