Najib: RM470 juta dibayar dari akaun saya bukan dana 1MDB

Najib: RM470 juta dibayar dari akaun saya bukan dana 1MDB

Bekas perdana menteri itu enggan mendedahkan sumber dana itu kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

Free Malaysia Today
Rosmah menyuap kek kepada Najib ketika penyokongnya meraikan ulang tahun kelahiran ke-65 beliau di luar Dewan Rakyat, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan RM470 juta dalam akaun peribadi yang digunakannya untuk membiayai parti komponen Barisan Nasional (BN) datang daripada 1MDB.

“Ia bukan dari dana 1MDB kerana setahu saya cek tersebut tidak datang dari 1MDB,” katanya di lobi Parlimen hari ini, selepas penyokongnya meraikan ulang tahun kelahiran ke-65 beliau.

Ditanya sumber dana itu, Najib bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang nama kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Itu masih dalam siasatan…(saya) tidak boleh katakan ia dana 1MDB. Jadi, sumber dana itu mesti disahkan dengan jelas. (Saya) serahkan kepada siasatan,” kata bekas pengerusi BN itu.

Minggu lalu, penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, parti komponen BN yang menerima wang daripada Najib perlu memulangkannya jika ia datang daripada 1MDB.

Menurut laporan Malaysiakini, wang itu dibayar dari akaun Najib kepada parti komponen BN, termasuk Umno, MCA, Gerakan, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan parti lain antara April 2012 hingga Ogos 2013.

Umno dilaporkan menerima sebahagian besar dana itu – RM417.4 juta (88.8%), disusuli MIC (RM20.55 juta) dan MCA (RM16.5 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.