
Ismail Yahya berkata, sama ada pemuda 19 tahun itu atau budak perempuan pasangannya yang bawah umur, mesti mendapatkan kebenaran daripada hakim Syariah negeri sebelum mereka boleh meneruskan akad nikah.
Laporan berita menyebut pasangan terbabit berkahwin di Thailand. Jabatan Agama Islam Kelantan berkata ia tidak menerima makluman tentang perkahwinan trsebut.
Ini merupakan kes perkawinan budak perempuan bawah umur kedua dilaporkan dalam masa terdekat.
Pada Jun lepas, seorang penoreh getah berumur 41 tahun yang mempunyai 2 isteri berkahwin dengan seorang budak perempuan 11 tahun berasal dari Thailand dalam satu majlis diadakan di selatan negara itu. Lelaki itu kemudiannya didenda oleh Mahkamah Syariah kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
Bulan lepas, seorang pemuda, 19 tahun dari Kelantan dan pasangannya budak perempuan 13 tahun dari Terengganu dilaporkan dinikahkan oleh seorang Kadhi di Pulau Nibong, selatan Thailand.
Menurut laporan, Khadi berkenaan, Ibrahim Husin berkata, beliau melakukan majlis akad nikah selepas pasangan tersebut menemuinya dengan membawa 2 saksi dan seorang wali yang merupakan bapa saudara budak perempuan tersebut.
Beliau dilaporkan berkata, bapa saudara budak perempuan itu memberitahu bahawa anak saudaranya mahu berkahwin dan beliau bersedia membenarkannya. “Saya meminta semua dokumen berkaitan dan setelah melihat semuanya lengkap maka saya melangsungkan majlis akad nikah pasangan itu di Masjid al-Uluwi pada 20 Jun.”
Beliau kemudiannya memberitahu pasangan itu supaya mendaftarkan perkahwinan mereka dengan pihak berkuasa Thai dan Malaysia, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada mereka berbuat demikian kerana tugasnya telah selesai selepas menjalankan akad nikah itu.
Bekas hakim Ismail berkata, perkahwinan bawah umur tanpa kebenaran betulis daripada hakim Syariah adalah tidak sah.
Hakim Syariah mesti menemuduga pengantin bawah umur sebelum memberikan kebenaran. “Jika tidak ada kebenaran daripada mahkamah, maka semuanya, baik majlis akad nikah atau orang yang terlibat, adalah salah,” katanya.
Exco kerajaan negeri Kelantan, Mumtaz Mat Nawi berkata budak perempuan tidak patut didedahkan kepada masalah perkahwinan bawah umur.
“Perkahwinan tidak sah akan menimbulkan banyak masalah kepada kesihatan fizikal dan mental mereka. Kita juga bimbang mengenai hubungan seks pada peringkat umur itu yang boleh mengganggu fikiran mereka,” katanya yang bertanggungjawab ke atas portfolio wanita, pembangunan keluarga dan kebajikan.
Mumtaz berkata, pasangan belasan tahun boleh berhadapan tindakan di bawah undang-undang negeri sekiranya perkahwinan mereka tidak sah. “Kita tidak tahu sama ada mereka melakukannya secara sah atau tidak,” katanya.
Pegawai di Jabatan Agama Islam Kelantan berkata, mereka tidak menerima sebarang laporan tentang perkahwinan pasangan berkenaan.