
Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan berkata PH mesti dikalahkan dalam PRK Dun Sungai Kandis supaya menjadi isyarat bahawa rakyat tidak mudah dipermainkan berikutan kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan penghapusan hutang peneroka Felda.
“Anda mempunyai 1001 sebab untuk menewaskan PH dalam PRK Sungai Kandis,” katanya.
“Kekalahan PH dalam PRK Sungai Kandis adalah untuk menyentak lamunan mereka yang asyik dengan kuasa supaya menunaikan janji pilihan raya dan tidak lagi membohongi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pelik dengan langkah PAS memberikan laluan kepada Umno untuk bertanding 1 lawan 1 dengan PH di DUN Sungai Kandis.
“Mereka memang 2 beradik,” katanya ringkas ketika diminta mengulas langah PAS tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil 4 Ogos ini.
Penamaan calon semalam menyaksikan calon PH, Mohd Zawawi Mughni mempertahankan kerusi itu menentang calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.
Nasrudin juga berkata terdapat banyak isu persendaan Islam yang berlaku dan mendakwa kerajaan PH dilihat sangat tidak seimbang, bersikap rasis dan terlalu membuka jalan kepada suara yang mempersenda Islam.
Katanya, suara yang mengundang keresahan umat Islam semakin marak bebas dan tidak diambil tindakan wajar oleh kerajaan PH.
“Suara seperti gesaan supaya Maahad Tahfiz ditutup, terlalu memberi muka kepada LGBT dan pemikiran anti hadis, posisi penting dalam sektor kehakiman dan undang-undang tidak diberikan kepada orang Islam.
“Selain itu, wujud peluasan pemikiran liberal, selain individu didakwa menyokong gerakan pengganas menjadi pemimpin kerajaan dan dakwaan dominasi DAP yang skeptikal terhadap perjuangan Islam dalam kerajaan PH,” katanya.