
Pengarah pilihan raya PRK Sungai Kandis, Amirudin Shari juga meminta jentera tidak menggunakan statusnya sebagai menteri besar semasa berkempen.
“Kita sedia bertarung dengan cara baik takkan beri duit dan cenderahati kepada pengundi,” katanya ketika merasmikan bilik gerakan utama di Sungai Kandis.
Amirudin menambah PH selaku kerajaan harus lebih berhati-hati apabila berdepan Barisan Nasional, yang tewas di peringkat persekutuan dan negeri pada pilihan raya umum lepas, bagi mengelakkan timbul sentimen “kasihan” pada calon lawan.
Namun begitu, PH akan turun ke lapangan dan melawan sentimen kaum dan agama dengan tegas.
“Beritahu pengundi bahawa pihak lawan akan gunakan sentimen agama dan kaum, memfitnah dan melakukan provokasi. Saya perlu turun jumpa pengundi, dan beritahu ‘jangan gusar, jangan takut, kekalkan PKR pada pilihan raya kali ini’.”
Calon PKR, Zawawi Mughni, seorang pengetua sekolah tahfiz, akan mempertahankan kerusi PKR itu daripada calon Umno, Datuk Lokman Noor Adam, dan Murthy Krishnasamy.
Pengundi Melayu membentuk majoriti di DUN Sungai Kandis, dan PKR mempertahankan kerusi itu sejak 3 penggal lepas.
Hari pengundian diadakan pada 4 Ogos ini.