
Abang Johari, yang mengetuai gabungan 4 parti itu berkata tidak perlu bagi Sarawak keluar Malaysia kerana berada dalam Malaysia tidak bererti rakyat tidak boleh menuntut hak mereka seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Pilihan raya telah berakhir dan kita semua tahu kerajaan baru di Putrajaya telah ditubuhkan. Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di Kuching baru-baru ini dalam lawatannya yang pertama ke Sarawak sejak menjadi perdana menteri.
“Kita sungguh berbangga dengan keberadaan Dr Mahathir di Kuching dan kita dapat memberikan gambaran keseluruhan tentang pembangunan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis sempena Hari Kemerdekaan Sarawak 2018 di Dataran Perayaan, Jalan Stadium, hari ini.
Abang Johari berkata kehadiran Dr Mahathir membuktikan GPS berjaya mewujudkan hubungan erat dengan kerajaan persekutuan sunggupun berlainan pendapat politik.
“Sarawak memerlukan perhatian kerajaan persekutuan secara berterusan bagi menentukan pembangunannya tidak terjejas demi rakyat negeri ini.”
Abang Johari berkata pada peringkat awal Sarawak agak berpuas hati dengan janji untuknya dalam Malaysia telah telah ditepati.
Namun setelah beberapa lama, secara sengaja atau tidak, hak Sarawak dicerobohi tanpa disedari oleh rakyat Sarawak sendiri.
“Sudah tentu ini membuatkan rakyat Sarawak berasa tidak puas hati. Kami percaya sepenuhnya bahawa soal panghakisan kuasa ini harus diperbetul dan diselesaikan menerusi rundingan kerana rasa ketidakpuasan itu tidak sihat untuk kesejahteraan Malaysia secara keseluruhannya,” kata beliau.
Sarawak diberikan pemerintahan sendiri oleh penjajah British pada 22 Julai 1963 dengan pelantikan kabinet pertama bagi mentadbir negeri itu di mana proklamasi dikeluarkan bagi penubuhan sebuah Majlis Tertinggi baru.
Kabinet pertama Sarawak diketuai oleh Datuk Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri dan dibantu oleh 5 menteri, di mana mereka bertanggungjawab memulakan pembangunan Sarawak.
Pada 15 Sept 1963, pada 12.30 tengahari gabenor British terakhir, Sir Alexander Waddell meninggalkan Sarawak dan pulang ke negara kelahirannnya.
Sarawak menyertai pembentukan Malaysia bersama Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) and Singapura pada 16 Sept, 1963.