HSR: Singapura mahu makluman bertulis sebelum 31 Julai

HSR: Singapura mahu makluman bertulis sebelum 31 Julai

Laporan itu menyebut, jika Malaysia berhasrat bertemu Singapura untuk membincangkan projek HSR, ia harus dilakukan menjelang tarikh sama.

Free Malaysia Today
Jurucakap Kementerian Pengakutan Singapura dilaporkan berkata, kementeriannya membuat permintaan kepada Malaysia melalui saluran diplomatik. ( Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Singapura meminta kerajaan Malaysia memberikan maklum balas bertulis menjelaskan kedudukannya berhubung projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sebelum 31 Julai, lapor The Straits Times, semalam.

Memetik jurucakap Kementerian Pengangkutan, laporan berkenaan menyebut bahawa, jika Malaysia berhasrat bertemu dengan Singapura untuk membincangkan projek HSR, ia seharusnya dilakukan menjelang tarikh sama.

“Mereka masih belum memberikan Singapura penjelasan yang diminta, atau berkomunikasi mengenai tarikh cadangan mereka untuk perbincangan,” jurucakap itu dipetik sebagai berkata.

Tambah jurucakap itu, kementeriannya membuat permintaan kepada Malaysia melalui saluran diplomatik.

Laporan itu menyebut, jurucakap berkenaan memberi maklum balas terhadap pertanyaan daripada media berhubung kenyataan yang dibuat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis lalu.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, Malaysia akan berunding mengenai penangguhan projek HSR dengan Singapura bagi mengelakkan pembayaran pampasan di bawah rancangan awal untuk membatalkan projek berkenaan.

Beliau juga berkata, akan ada perbincangan mengenai perkara itu apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, melawat Singapura sebelum hujung bulan.

Pejabat Azmin berkata, ia akan memaklumkan Singapura berkenaan tarikh cadangan untuk perbincangan, tetapi belum ada tarikh yang ditetapkan lagi untuk mesyuarat, kata laporan itu.

Azmin: Malaysia, Singapura bincang HSR hujung bulan ini

Kerajaan mungkin tangguh projek HSR, kata Dr Mahathir

Keputusan HSR akan jejas nilai pasaran, kata Dr M

Singapura belum terima jawapan balas Malaysia berhubung HSR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.