
Biro Penyiasatan Pusat India juga menamakan bekas menteri kewangan dari parti Kongres P Chidambaram dan anaknya Karthi.
Chidambaram dituduh mengetuai mesyuarat Lembaga Promosi Pelaburan Asing (FIPB) pada 2006 yang meluluskan perjanjian Aircel-Maxis di mana penyelewengan ditemukan.
Kertas pertuduhan difailkan di depan hakim khas OP Saini, yang menetapkan 31 Julai ini untuk pendengaran.
Pada Ogos 2014, CBI menuduh bekas menteri telekom Dayanidhi Maran dan adiknya Kalanithi, Ananda, Marshall, dan 4 syarikat, termasuk Maxis Communication Bhd, sebagai tertuduh dalam kes ini.
CBI mendakwa Dayanidhi “menekan” dan “memaksa” ahli perniagaan Chennai C Sivasankaran supaya menjual sahamnya dalam Aircel dan 2 anak syarikat kepada Maxis Group pada 2006.
Kemudian, dalam satu kenyataan, Maxis didakwa melabur Rs 650 dalam rangkaian Sun TV, yang dikendalikan oleh adik-beradik Maran, kata CBI.
Mahkamah memutuskan bahawa bukti itu tidak mencukupi untuk mendakwa adik-beradik Maran. Pendakwa raya merayu keputusan ini di Mahkamah Agung India, menurut laporan media.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak memberi kesan kepada rakyat Malaysia dan Maxis kerana mahkamah terlebih dahulu memisahkan perbicaraan terhadap rakyat Malaysia daripada India, kata laporan itu.
Maxis, sejak awal kes menegaskan semua urusannya berhubung Aircel adalah selaras dengan undang-undang India.
Ananda membelanjakan kira-kira AS$800 juta untuk membeli syarikat perkhidmatan mudah alih Aircel pada 2006.
Selama bertahun-tahun, beliau yang memiliki 45% pegangan dalam Maxis dikatakan membuat pendahuluan kepada pemegang saham Aircel berjumlah AS$3.4 bilion.
Bloomberg memetik individu yang mahir mengenai perkara itu berkata Maxis juga membeli saham biasa bernilai AS$1.2 bilion dan melanggan saham boleh tebus bernilai AS$1.6 bilion.
Bagaimanapun, Aircel yang dimiliki 74% oleh Maxis, memfailkan untuk memulakan prosiding kebankrapan pada Mac. Sumber memberitahu Bloomberg bahawa Ananda akan kehilangan semua wang yang disalurkan kepada Aircel sejak 2006.
Skandal Aircel-Maxis: India keluar waran tangkap terhadap Ananda, Marshall