Putrajaya kata barangan mewah harus dicukai

Putrajaya kata barangan mewah harus dicukai

Menteri Lim Guan Eng berkata barangan seperti kapal dan helikopter perlu dicukaikan.

PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan hari ini berkata barangan mewah seperti kapal dan helikopter harus dicukai, selepas kastam memuatnaik cadangan senarai barangan yang dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) semalam.

Antara barangan yang dicadangkan untuk pengecualian cukai ialah kapal terbang, kapal layar, feri, helikopter, kapal angkasa dan peralatan luncur salji.

“Kementerian Kewangan berpandangan barangan mahal yang juga mewah yakni ‘big-ticket items’ haruslah dikenakan cukai,” kata Menteri Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata barangan dalam senarai itu akan digugurkan atau dimasukkan berdasarkan kepada maklum balas orang awam.

Beliau berkata demikian selepas badan-badan pengguna membantah pengecualian cukai ke atas barangan mewah seperti yang dinyatakan diatas serta ikan Arowana hidup, udang karang dan telur ikan sturgeon.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris berkata banyak barangan dalam senarai itu harus dicukaikan, manakala Presiden Gerakan Pengguna Malaysia, Darshan Singh Dhillon berkata kerajaan harus mengenakan cukai yang tinggi pada barangan mewah.

Pada 2015, PKR membantah barangan mewah seperti udang karang dikenakan kadar cukai 0% di bawah sistem GST walaupun barang-barangan seperti itu hanya digunakan oleh golongan berpendapatan tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.