Aktivis: Beri kerakyatan kepada kanak-kanak 5 tahun ke bawah

Aktivis: Beri kerakyatan kepada kanak-kanak 5 tahun ke bawah

Syed Azmi Syed Ibrahim berkata, kanak-kanak tanpa kerakyatan tidak akan mendapat hak penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma.

Free Malaysia Today
Syed Azmi Syed Ibrahim berkata, soal pendidikan dan keselamatan kanak-kanak itu dapat diselesaikan selepas mereka menjadi rakyat Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktivis sosial, Syed Azmi Syed Ibrahim mencadangkan kerajaan memberi kerakyatan kepada kanak-kanak di bawah 5 tahun, sejajar manifesto pilihan raya Pakatan Harapan mahu menyelesaikan masalah itu.

“Saya tak ada perkara lain nak minta, satu sahaja. Berilah status warganegara itu kepada anak-anak ini sekurang-kurangnya di bawah 4 atau 5 tahun.

“Apabila status ini diberikan seawal usia tersebut, tidak mustahil kita boleh menyelesaikan masalah bukan hanya soal pendidikan, tetapi juga keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.

Kelmarin, penyelaras Biro Kewarganegaraan PKR, A Kumaresan menggesa kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi di Jabatan Pendaftaran Negara untuk membantu individu tanpa kerakyatan, khasnya kanak-kanak mendapatkan kewarganegaraan.

Adun Batu Uban itu berkata, ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan dinafikan hak penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma kerana mereka bukan rakyat Malaysia.

Syed Azmi berkata, langkah memberi kerakyatan kepada kanak-kanak itu akan mempercepatkan permohonan ibu bapa angkat.

“Bilangan ibu bapa yang menunggu untuk mengambil anak angkat ini ramai, tetapi pihak berwajib tak beri kerakyatan, macam mana nak proses permohonan dengan cepat?

“Kalau diberi kerakyatan, proses akan menjadi cepat dan kanak-kanak boleh pulang ke rumah ibu bapa angkat masing-masing tanpa perlu tinggal di rumah kebajikan di bawah institusi kerajaan.”

Katanya, jika kerajaan tidak memberi kerakyatan kepada kanak-kanak itu, mereka akan menjadi pendatang asing tanpa izin pada usia 18 tahun.

“Masa itu, siapa lagi nak ambil dia sebagai anak angkat, bila pula dia nak masuk sekolah? Rekod pengenalan diri pun tiada.”

PKR: Kurangkan birokrasi terhadap kanak-kanak tanpa warganegara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.