Tuntutan palsu lebih RM800 ribu, bekas pengurus TM diperintah bela diri

Tuntutan palsu lebih RM800 ribu, bekas pengurus TM diperintah bela diri

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Free Malaysia Today
Tertuduh didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah RM822,398.59 melalui pesanan penghantaran dan invois milik 2 syarikat kontraktor bagi kerja pemasangan kabel Unifi yang belum dilaksanakan. (Gambar Youtube)
SHAH ALAM:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang bekas pengurus pemasaran dan saluran SME Telekom Malaysia (TM) membela diri terhadap 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu lebih RM822,390.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan yang dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Noorazlina Shamsuddin, 45.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk wanita itu yang diwakili peguam Arik Zakri Abdul Kadir dan Ahmad Kamal Abu Bakar membela diri.

Seramai 56 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Noorazlina didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah RM822,398.59 melalui pesanan penghantaran dan invois milik 2 syarikat kontraktor, iaitu Core Entity Sdn Bhd dan Excellent Spring Sdn Bhd bagi kerja pemasangan kabel Unifi di beberapa lokasi yang belum dilaksanakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan di Pejabat TM MSC, TM Cyberjaya Complex, Cyberjaya, antara 17 April 2012 hingga 2 Jan 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.