
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S M Mohamed Idris berkata, banyak barang dalam senarai pengecualian cukai itu sepatutnya dikenakan cukai.
Semakan FMT dengan hotline Jabatan Kastam mengesahkan barangan mahal itu termasuk dalam senarai pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Senarai barang yang dicadangkan untuk pengecualian cukai jualan itu boleh didapati di sini.
Idris turut mengeluh asbestos dan “tembakau mentah” dikecualikan cukai, sebaliknya ia perlu dikenakan cukai untuk tidak menggalakkan penggunaannya kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan.
“Kami berharap sebaik sahaja senarai barang dikenakan cukai dikeluarkan, kami boleh lihat lebih banyak barang mahal dan berjenama dikenakan cukai.”
Pada 2015, PKR membantah makanan mewah seperti udang karang dikecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) walaupun ia biasanya dimakan golongan berpendapatan tinggi.
PKR dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada April 2015 menganjurkan “pesta makan udang karang” untuk menunjukkan kepada rakyat makanan mewah itu dikecualikan GST, tetapi sardin dan mi segera dikenakan cukai.
Presiden Gerakan Pengguna Malaysia, Darshan Singh Dhillon berkata kerajaan boleh mengenakan cukai lebih tinggi untuk barangan mewah, tetapi beban kewangan golongan kurang berkemampuan perlu diringankan.
Hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata beliau tidak menjangkakan kenaikan harga barang kerana SST hanya dikenakan ke atas sebahagian kecil barang berbanding GST dan kebanyakan barang akan dikecualikan cukai.
Kerajaan mengunjurkan kutipan SST hanya RM21 bilion bagi setahun, kurang RM23 bilion daripada unjuran GST oleh kerajaan terdahulu sebanyak RM44 bilion bagi 2018.
Kerajaan mencadangkan cukai jualan pada kadar 5% dan 10% ke atas barangan terpilih, manakala 6% untuk cukai perkhidmatan bagi menggantikan 6% GST yang diperkenalkan pada 1 April 2015.