PH akan tanggung dosa jika tak tunai, kata Dr M

PH akan tanggung dosa jika tak tunai, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata perkara utama adalah membersihkan kerajaan daripada kerosakan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan terdahulu.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan telah menunaikan 2 janji, 6 sedang ditunaikan manakala 2 lagi belum dijalankan langkah pelaksanaan setakat 70 hari pentadbiran.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menanggung dosa jika menipu rakyat dalam menunaikan janji manifesto.

“Kalau kami berdosa, kami tanggung, tapi kami tak anggap manifesto kitab suci Al-Quran atau Bible, jadi bila sampai rintangan kita perlu cari jalan lain untuk tanganinya,” katanya menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

Khairy meminta kerajaan membuat penjelasan daripada 10 janji, berapa banyak janji yang gagal ditunaikan dalam tempoh 100 hari kemenangan PH.

Dr Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi sekali lagi menegaskan manifesto hanyalah janji yang wajib dipatuhi sehingga membantutkan pentadbiran kerajaan.

“Kami menganggap ini manifesto, tidaklah mengikat sehingga tidak boleh bergerak. Apabila kita cuba laksanakan, kita dapati banyak rintangan, umpama undang-undang lama yang digubal bekas kerajaan, pegawai-pegawai yang dahulu bersih daripada jenayah sekarang tak dapat laksanakan tugas-tugas mereka dan perlu ditukar.

“Semua ini menjadi halangan terhadap pelaksanaan janji kami,” katanya.

Beliau menambah, tumpuan kerajaan bukan pada 10 janji ini sahaja. Dalam tempoh 100 hari ini banyak kerja lain perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

“Yang diutamakan kerajaan adalah tindakan membersihkan kerajaan hasil daripada kerosakan gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu.

“Tindakan undang-undang terhadap jenayah yang dikesan dalam kerajaan, usaha untuk kesan dan dapat balik wang yang hilang, menyusun semula jabatan dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah menunaikan 2 daripada 10 janji yang terkandung dalam manifesto PH setakat 70 hari pentadbiran.

“Manakala 6 janji lagi sedang ditunaikan manakala 2 janji belum dijalankan langkah pelaksanaannya.”

Antara 10 janji yang akan dipenuhi PH dalam 100 hari pentadbiran ialah memansuhkan GST, mengembalikan semula subsidi bahan bakar secara bersasar, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah dan menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, PH juga berjanji menyamaratakan gaji minimum, menyiasat institusi yang terpalit dalam skandal terutama sekali isu 1MDB dan menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

Antara lain, mengkaji semula langkah pemberian projek mega kepada negara asing, menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan meningkatkan akses, kualiti perkhidmatan kesihatan.

 

Manifesto 10 janji 100 hari PH masih malap?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.