
Katanya, perkara yang terkandung dalam janji 100 hari PH ialah mengeluarkan nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada senarai hitam Jabatan Imigresen dan menangguhkan bayaran balik untuk peminjam berpendapatan kurang RM4,000.
“Kita dalam proses mengemas kini senarai peminjam dan pastikan siapa yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 untuk kita tangguhkan bayaran.
“Kita tak nafikan dalam tempoh ini, ramai yang gaji kurang RM4,000 pun komited membayar hutang mereka.
“Kami sedang mengkaji data tersebut, itu janji 100 hari, UEC tidak termasuk dalam janji 100 hari,” katanya menerusi Bicara Minda di Kompleks Karangkraf hari ini.
Maszlee berkata, beliau konsisten dalam isu pengiktirafan UEC.
“Apabila orang bertanyakan UEC, saya katakan memang ia terdapat dalam manifesto PH, tetapi saya tak terburu-buru mengiktirafnya.”
Ditanya jika kerajaan mampu melaksanakan janji penangguhan bayaran pinjaman PTPTN bagi peminjam bergaji kurang daripada RM4,000, ini jawapan Maszlee.
“Itu kena tanya dia (Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan), dia pengerusinya. Kalau tanya kepada saya, saya akan paksa dia.
“Saya telah memberikan tanggungjawab kepada dia dan dia kena pastikan dia menjalankan tanggungjawabnya.”
Isnin lalu, Wan Saiful berkata, seramai 429,945 peminjam dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen setakat Jun lalu, sejajar janji pilihan raya umum PH untuk memutihkan peminjam PTPTN yang disenarai hitamkan.
PTPTN turut memberi masa sehingga 25 Julai ini kepada peminjam mengemukakan maklumat pendapatan mereka untuk mengumpul data terkini sebelum melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman selepas kajian teliti selesai.