
Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, majlis itu yang berhak memutuskan perkara itu dan setakat ini, PAS Pusat belum mengarahkan mereka membuat keputusan mengenainya.
“Pertandingan di Sungai Kandis ini sebenarnya kita belum buat apa-apa keputusan lagi. Majlis Syura Ulama belum lagi buat persidangan untuk memutuskan perkara ini dan saya harap tidak ada sebarang spekulasi.
“Kita akan adakan satu persidangan dalam masa terdekat untuk memutuskan perkara ini. Keputusan bertanding atau tidak, Majlis Syura Ulama yang putuskan,” katanya selepas di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa PAS sedia memberi laluan kepada Umno untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Pakatan Harapan dalam PRK Sungai Kandis.
“Setakat kami dimaklumkan pucuk pimpinan, PAS sedia beri laluan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak akan menurunkan calon dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
“Oleh kerana Umno sudah memutuskan untuk menyertai PRK ini, maka PAS tidak akan letakkan calon. Kenyataan lebih terperinci bagaimanapun akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.
Katanya, PAS tetap dengan prinsip pertandingan satu lawan satu bakal memberi peluang terbaik buat pembangkang dan tidak timbul isu PAS bekerjasama dengan Umno dalam PRK itu.
Timbalan Ketua Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengumumkan calon Umno esok.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Pada pilihan raya 9 Mei lalu, Shuhaimi mempertahankan kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan mendapat 23,998 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).