
Pada usia 44, Faisal nampak selesa dengan percanggahan dalam lembaran sejarah hidupnya.
Dia banyak menulis tentang sejarah Melayu dan mempunyai lebih 20 kertas kerja semuanya.
Dia juga menulis drama, cerita-cerita pendek, dan novel, yang melaluinya dia memenangi hadiah dan anugerah kesusasteraan, tetapi ada di antaranya yang cukup kontroversi hingga perlu diharamkan, kerana dianggap boleh mengancam ketenteraman awam oleh kerajaan lepas.
Kebelakangan ini dia bercakap tentang hak asas manusia dan muncul sebagai pengkritik golongan birokrat agama di Malaysia.
Akibatnya, Mohd Faizal Musa, nama sebenarnya dan nama dia dikenali di universiti tempat dia mengajar, dijauhi oleh rakan-rakan akademik dan para pelajar.
Sehinggalah baru-baru ini.
Dengan tumbangnya Barisan Nasional pada pilihan raya 9 Mei lepas, Faisal tiba-tiba mendapati orang ramai lebih mesra dan berminat untuk melihat hasil kerjanya. Dia merasakan perubahan ini berpunca daripada perasaan gembira yang menyusul kemenangan Pakatan Harapan, dan rakyat yang menjangkakan akan berlaku perubahan serta keterbukaan lebih luas.

Bagi ahli akademik dan orang seni sepertinya yang sekian lama dijauhi kerana tidak sesuai dengan sistem sedia ada, tampaknya lebih mudah diterima sekarang ini.
“Pada minggu PH ambil alih pentadbiran kerajaan, saya boleh rasa suasana berubah. Pelajar yang takut untuk menyapa saya tiba-tiba mesra,” katanya.
Namun Faisal masih berwaspada bila bercakap tentang perubahan sebenar. Ditanya jika dia merasakan pengharaman 7 bukunya akan ditarik balik secara rasmi oleh pentadbiran baru di Putrajaya, beliau menyorot perhatian kepada siasatan polis terhadap peguam hak asasi, Fadiah Nadwa.
“Bila Fadiah didakwa, saya tak rasa karya saya akan dibebaskan dalam masa terdekat,” katanya, merujuk kepada artikel yang ditulis Fadiah, yang didakwa kritis terhadap sistem beraja, dan kini sedang disiasat polis.
Faisal mula menulis pada usia remaja, memenangi beberapa anugerah. Mufti Perlis, Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin rakan sekolahnya. Tetapi hari ini mereka berdua mempunyai pandangan hidup yang berbeza, terutama berkenaan Islam.
Walaupun Faisal lepasan jurusan syariah dari Universiti Malaya, minat sebenarnya ke arah lain.
Dia jadi berminat dengan perjalanan sejarah orang Melayu di nusantara, untuk menyingkap dan memahami apa yang mencipta politik dan norma-norma mereka hari ini.
Dia juga sangat berminat dengan kelompok “lain-lain” dalam masyarakat Islam, termasuk Syiah, yang dianggap sesat oleh pihak berkuasa Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.
Malah, “Tehrani” dalam nama penanya seperti ada hubungan dengan minatnya terhadap kesusasteraan Syiah.
“Orang menyangka fahaman saya mula condong ke arah Iran,” kata Faisal. “Tetapi saya bukan Syiah. Saya ambil yang baik-baik daripada semua agama. Saya tak rasa diri ini boleh dilabel sebagai pengikut mana-mana fahaman.”
Sejarah Faisal bagaimanapun sangat jauh berbeza dengan imejnya sekarang ini sebagai orang yang mempertahankan hak asasi manusia, terutama untuk golongan homoseksual, serta penganut agama minoriti.
Pada satu ketika, dia menyokong parti Islam PAS, dan penulisannya boleh dikatakan sebagai konservatif.
“Pandangan saya berubah pada 2010 apabila saya ke Geneva (Switzerland) dan Dublin (Ireland) untuk menyertai latihan hak asasi manusia. Di sana saya bertemu ramai aktivis liberal dari seluruh dunia.
“Pengalaman itu mengubah pendapat saya. Pemikir dan penulis perlu buka fikiran kepada idea-idea baru. Jika idea-idea itu mencabar anda, dan jika anda perlu menyesuaikan kepercayaan, maka anda perlu melakukannya,” katanya.
Islam “jabatan”
Sekarang berkhidmat sebagai felo penyelidikan di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Faisal sering memandang masyarakat Melayu dengan cara yang tidak mengikut kelaziman.

Dia berkata sejarah Melayu sebelum Islam sering dilupakan oleh sejarawan.
“Saya percaya kita perlu buka minda untuk melihat perkara yang baik dalam sejarah kita. Orang Melayu pernah menjadi pengikut ajaran Buddha dan ada banyak nilai baik daripada ajaran itu,” katanya.
“Mengapa kita buang semua itu? Kita perlu ambil kebaikan dari mana sahaja. Itu yang diajar Islam. Ada hadis mengatakan apa saja perkara yang baik adalah sebahagian daripada Islam.”
Faisal selalu bercakap tentang cara Islam diamalkan di Malaysia. Ketakutan utamanya ialah “Islam jabatan”, yang menurut beliau bukanlah perkembangan baru.
Beliau berkata Islam secara perlahan-lahan berubah merentasi abad, menjadi lebih keras kerana penularan fahaman Salafi.
Perkara pertama yang diajarkan kepada orang Islam Melaka tentang agama ialah tatacara dalam upacara keagamaan.
“Mereka tak diajar tentang ketuhanan atau akhlak. Sebab itu orang kita sekarang tumpu pada dobi halal,” katanya, merujuk kepada kontroversi yang timbul tahun lepas yang menyoal bolehkah orang bukan Islam membasuh baju di kedai dobi yang dikunjungi orang Islam.
Faisal berhati-hati bila bercakap tentang perubahan yang mungkin dibawa kerajaan sekarang. Bahkan, dia dipanggil untuk bertemu Majlis Penasihat Kerajaan dan memberikan input tentang usaha membaiki badan-badan Islam di Malaysia.
Bagaimanapun beliau berkata bukan mudah untuk membuang “Islam jabatan”, istilah yang digunakan bagi merujuk kepada birokrasi Islam.
Beliau berkata ramai rakyat yang berfikiran liberal tidak sedar akan politik dalam perubahan berskala besar.
“Saya selalu mengingatkan kelompok liberal bahawa kita perlu faham apa yang berlaku di Amerika Syarikat semasa pentadbiran Presiden Obama adalah contoh terbaik untuk kita renungkan.”
Beliau berkata Obama memaksakan agenda liberal, contohnya dengan mengiktiraf perkahwinan sejenis, lalu menyinggung ramai warga konservatif di luar bandar. Akibatnya ialah kemenangan Donald Trump.
“Kita kena ingat perkara ini semasa memikirkan masa depan Malaysia,” kata Faisal. Dia mendapati ramai individu LGBT sebenarnya konservatif, sebahagiannya orang Islam yang mahukan hudud, hukuman undang-undang Islam yang diperjuangkan PAS.
Oleh itu, orang ramai perlu bersikap realistik sebelum menyeru pembubaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, yang sedang diteliti kerana bidang kuasanya yang luas dan belanjawan yang besar.
“Jakim tumbuh menjadi institusi yang sangat besar sejak 1997. Dengan saiz seperti itu, terdapat ribuan penjawat awam bekerja di sekolah dan kolejnya dan agensi lain. Tidak mudah membubarkan atau memindahkan kakitangan ke jabatan lain,” katanya.
“Saya rasa perkara ini memeningkan pentadbiran sekarang.
“Sebab itu Jakim tidak akan dibubarkan kerana takut pada tindak balas. Orang ramai perlu terima perkara ini.”
Sinis
Jadi Faisal kekal sinis, sama sekali tak yakin keadaan akan berubah walaupun di bawah rejim baru.
Mungkin dia mempunyai sebab yang kuat. Pertama sekali, 7 bukunya masih diharamkan Kementerian Dalam Negeri.

“Pengharaman buku saling berkait dengan menyekat kebebasan bersuara,” katanya, menyentuh topik kegemarannya.
Antara buku yang diharamkan ialah Sebongkah Batu di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi Nasrallah. Pihak berkuasa berkata karya itu sarat dengan tema Syiah, menyebabkan mereka membuat kesimpunan bahawa Faisal mempromosikan “ajaran sesat”.
Faisal tidak apologetik. Baginya, suara orang Islam yang dipinggirkan perlu didengari.
“Kita perlu duduk bersama pengikut fahaman Ahmadiah dan mendengar cerita mereka. Mereka mempunyai naratif berbeza yang boleh kita pelajari,” katanya, merujuk kepada satu lagi kumpulan yang tidak diiktiraf sebagai orang Islam oleh ulama kerajaan.
“Semua orang ada sejarah, ada cerita masing-masing,” kata Faisal.
Kadang-kadang perbezaan hanya perlu diterima tetapi pada masa lain ia harus diraikan dan dipelajari, katanya.
Beliau berkata apabila perbezaan tidak dihargai, Malaysia berdepan bahaya menuju ke arah negara-negara orang Islam berfahaman keras yang lain.
“Pakistan sebuah negara gagal di mana seorang Syiah atau Ahmadiah boleh diculik dan dibunuh pada siang hari. Jangan kita menuju ke arah itu.”