Tian Chua nafi wujud kem Anwar, Azmin dalam PKR

Tian Chua nafi wujud kem Anwar, Azmin dalam PKR

Naib presiden PKR itu turut menafikan keputusan Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden akan menjejaskan laluan politik Azmin Ali dalam parti.

Free Malaysia Today
Tian Chua percaya gandingan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali mampu membawa PKR ke tahap lebih tinggi kerana 2 pemimpin itu bekerjasama sejak sekian lama.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Tian Chua menyangkal dakwaan wujud kem Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali menjelang pemilihan parti itu bulan depan.

Beliau turut menafikan keputusan Anwar bertanding jawatan presiden PKR akan menjejaskan laluan politik Azmin dalam parti itu.

Sebaliknya, beliau percaya gandingan Anwar dan Azmin mampu membawa parti berkenaan ke peringkat lebih tinggi kerana mereka bekerjasama sejak sekian lama.

“Apa perlunya Anwar lawan Azmin? Siapa tidak tahu Azmin adalah orang Anwar yang paling setia. Saya rasa lucu jika ada yang kata wujud kem Azmin dan kem Anwar.

“Di antara semua bekas pembantu politik Anwar, hanya Azmin yang kekal selepas 2 dekad. Apabila Anwar masuk (dipilih sebagai presiden), maka Anwar akan angkat Azmin ke dalam kemnya, siapa lagi yang Anwar percaya?” katanya kepada FMT.

Tian Chua berkata, jika Azmin berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden, Anwar dan bekas menteri besar Selangor itu akan bekerjasama dengan erat.

“Saya yakin Anwar akan selesa Azmin menjadi timbalan parti dan secara tidak langsung, saya yakin pasangan ini akan bekerjasama dengan erat.”

Azmin dilantik sebagai pegawai khas dan setiausaha sulit Anwar dari 1987 hingga 1998 ketika beliau ialah menteri pelajaran serta timbalan perdana menteri.

Azmin kekal rapat dengan Anwar susulan pemecatannya dari Kabinet pada 1998 dan menjadi seorang daripada pengasas Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya ditukar nama kepada PKR.

Azmin dipilih sebagai timbalan presiden PKR pada 2010 dan berjaya mempertahankan jawatan itu dengan mengalahkan Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti 2014.

Ahad lalu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menggesa ahli parti tidak meminggirkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan mencadangkan timbalan perdana menteri itu diberikan peranan sebagai ketua umum.

Selain Azmin, katanya, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga layak diangkat sebagai timbalan presiden.

“Kedua-dua mempunyai kelebihan masing-masing, terutamannya Rafizi yang masih muda dan belum ‘lelah’ dan tidak dibebani jawatan besar dalam negara,” kata Azan yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Tian Chua berkata, ahli PKR tidak perlu bimbang dengan kedudukan Wan Azizah kerana beliau boleh bertanding jawatan lain dalam parti.

“Memang dari awal Wan Azizah menyatakan beliau menduduki kedudukan itu untuk menyokong Anwar Ibrahim, buat apa hendak lagakan suami isteri?” katanya sambil menambah jawatan ketua umum sama dengan presiden PKR.

Ahad lalu, Anwar mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan, selepas beliau berbincang dengan semua pucuk pimpinan PKR, termasuk Wan Azizah.

Anwar berkata, beliau didesak pimpinan PKR untuk menggalas jawatan presiden sejak 2007, tetapi gagal berbuat demikian kerana mendapat tekanan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

PKR dijangka mengadakan pemilihan mulai Ogos hingga September ini.

Akar umbi mahu PKR angkat Wan Azizah ketua umum, Rafizi layak tanding timbalan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.