Putrajaya akan kaji mekanisme kawal harga ubat

Putrajaya akan kaji mekanisme kawal harga ubat

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyegerakan perkara itu.

Free Malaysia Today
Dr Lee Boon Chye berkata, ubat bukan barang terkawal dan harganya didapati melambung tinggi setiap tahun.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan akan meneliti mekanisme bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran, kata Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, usaha itu berikutan harga ubat dalam pasaran kian meningkat setiap tahun dan dikhuatiri menjejaskan kebolehmampuan penjagaan kesihatan rakyat.

“Harga ubat-ubatan tidak tersenarai dalam harga barang terkawal dan ia didapati melambung tinggi setiap tahun.

“Kita akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi menyegerakan perkara ini.

“Namun, ada banyak aspek dan faktor perlu diteliti dan diambil kira terlebih dahulu,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Program Perkhidmatan Farmasi di sini, semalam.

Dr Lee berkata, kementeriannya juga sedang mengkaji mekanisme bagi menambah baik sistem bekalan ubat di hospital kerajaan dan pasaran untuk memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi.

“Isu bekalan dan logistik ubat berkaitan juga dengan pemegang tender. Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang salah laku berkaitan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, antara aspek yang akan dinaik taraf bagi memastikan bekalan ubat mencukupi ialah penggunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih canggih untuk proses rekod lebih cekap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.