PTPTN bukan GLC, Wan Saiful bidas pengkritiknya

PTPTN bukan GLC, Wan Saiful bidas pengkritiknya

Wan Saiful Wan Jan berkata PTPTN adalah badan berkanun yang ditubuhkan bertujuan melaksanakan agenda politik kerajaan yang mentadbir.

Free Malaysia Today
Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pengkritiknya sebagai individu yang malas untuk lakukan kajian terlebih dahulu sebelum mempersoalkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan tidak melihat sebarang kesalahan baginya menjawat jawatan tersebut, selain tidak melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH).

Wan Saiful berkata, PTPTN adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan bertujuan melaksanakan agenda politik kerajaan yang mentadbir dan ia bukannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ada kata perlantikan saya sebahagian ke dalam GLC melanggar manifesto PH, sebenarnya mereka tidak faham. PTPTN adalah badan berkanun bukannya GLC.

“Kita langsung tidak ada tulis mengenai badan berkanun, kebiasaannya badan berkanun ini adalah institusi sosial politik yang digunakan untuk membantu rakyat,” katanya dalam sebuah forum di Universiti Malaya, hari ini.

Wan Saiful turut membalas kritikan kepada pihak yang mengkritiknya sebelum ini sebagai individu yang malas untuk lakukan kajian terlebih dahulu sebelum mempersoalkan.

“Mereka malas hendak buat ‘homework’, berikan komen tanpa membaca dahulu keseluruhan buku manifesto PH, namun saya bersetuju untuk bukan sahaja GLC, badan berkanun boleh disiasat,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin veteran DAP Dr Boo Cheng Hau berkata pelantikan Wan Saiful sepatutnya dibuat melalui Dewan Rakyat.

Beliau berkata pelantikan ketua GLC dan badan berkanun seperti PTPTN perlu diteliti terlebih dahulu dan dibuat secara telus bagi menyekat kronisme dan rasuah.

“Saya hormati kebolehan Wan Saiful. Kelayakan beliau tidak diragui, tetapi (pelantikan itu) boleh memberi gambaran campur tangan eksekutif,” kata Boo.

Sementara, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata pelantikan Wan Saiful merupakan satu tindakan luar jangka untuk melunaskan janji manifesto pilihan raya PH.

Maszlee turut menepis kritikan pihak tertentu yang mengatakan Wan Saiful adalah seorang lantikan politik.

Beliau berkata Wan Saiful menawarkan dirinya untuk memegang jawatan itu bagi satu tempoh yang terhad untuk melunaskan janji PH berkenaan PTPTN dalam 100 hari pertama kerajaan baru.

Dalam forum yang sama, Wan Saiful berkata kajian secara menyeluruh juga perlu dilakukan bagi menentukan kedudukan ahli politik dalam GLC dan badan berkanun bagi menyelesaikan persoalan yang timbul.

“Bagaimana hendak asingkan ahli politik dan pada masa ahli politik itu merupakan golongan profesional. Hal ini kerana, ada yang persoalkan. Jika tempatkan ahli politik dalam GLC, maka akan ada salah guna kuasa,” katanya.

Beliau juga mengakui wujud isu birokrasi dalam kerajaan Persekutuan ketika ini dan berpandangan ia wajar dikurangkan bagi membantu mempercepatkan urusan.

“Birokrasi dalam kerajaan merupakan suatu masalah dan saya ketika ini terlibat dalam masalah berkenaan. Saya mesti katakan, birokrasi adalah suatu perkara yang perlu dikurangkan.

“Ia bukan suatu masalah besar, tetapi jika masalah komunikasi ini dapat dijalankan dengan baik, lebih baik. Birokrasi ini memperlahankan sedikit tugas kita untuk melaksanakan tugas,” katanya.

Maszlee: Wan Saiful dilantik ke PTPTN kerana orang lain tak mahu

Pelantikan Wan Saiful ketuai PTPTN perlu melalui Parlimen, kata veteran DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.