
Koordinator Biro Kewarganegaraan PKR, A Kumaresan berkata walaupun kerajaan persekutuan mengatakan ia akan menumpukan kepada penukaran pemegang kad pengenalan merah atau penduduk tetap kepada warganegara, kes yang melibatkan kanak-kanak tanpa kerakyatan harus diutamakan.
Adun Batu Uban itu berkata ribuan kanak-kanak tanpa warganegara dinafikan hak penjagaan kesihatan percuma dan berpeluang untuk mendaftar di sekolah kerana kelewatan akibat daripada birokrasi di JPN.
Kumaresan berkata kerajaan tidak perlu mempunyai pasukan petugas khas lain untuk meneliti isu tersebut kerana ia hanya memerlukan perubahan dasar di JPN untuk membolehkan pegawainya mendaftarkan mereka dan memberi taraf kewarganegaraan.
Beliau berkata amalan penubuhan pasukan petugas di luar JPN kadang kala boleh menyebabkan masalah seperti mereka tidak saling berhubungan.
Kumaresan berkata penyelesaiannya adalah semua kes perlu dikendalikan sepenuhnya oleh JPN tanpa penglibatan orang luar.
“Kami tidak memerlukan pasukan petugas khas. Mempunyai pasukan petugas khas adalah perkara lalu dan terbukti tidak berkesan semasa era Barisan Nasional.
“Kenapa kita tidak membenarkan orang tanpa kerakyatan, terutamanya kanak-kanak, hanya pergi ke pejabat JPN masing-masing untuk mendaftar dan mengambilnya dari sana?” katanya kepada FMT.
Kumaresan, yang membantu individu tanpa kerakyatan selama 10 tahun, berkata sumber di JPN memberitahu beliau, jabatan itu bersedia memproses permohonan orang tanpa kerakyatan tetapi masih perlu “menerima arahan daripada menteri yang bertanggungjawab”.
Beliau berkata kerajaan perlu mempercepatkan arahan itu kerana ramai kanak-kanak kurang mendapat bantuan dan pendidikan.
Menurut Kumaresan, antara 2012 hingga Januari 2017, terdapat 15,394 kanak-kanak yang dilahirkan sekurang-kurangnya satu pasangan di Malaysia dinafikan kewarganegaraan dan kekal tanpa kerakyatan.
Beliau berkata Parlimen pernah diberitahu terdapat kira-kira 300,000 kanak-kanak tanpa warganegara di negara ini.
Katanya, amalan lama pemberian kad pengenalan merah atau kewarganegaraan kepada mereka yang sudah berumur 70 tahun harus dikurangkan dalam memberi keutamaan berbanding golongan muda kerana mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan.
“Birokrasi menyebabkan banyak masalah kepada individu tanpa kewarganegaraan selama beberapa dekad. Kita mesti membantu mereka,” katanya.
Pakatan Harapan berjanji untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan di Malaysia sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya.
Masalah individu tanpa kerakyatan tidak terhad kepada Semenanjung sahaja kerana Sabah juga mempunyai sejumlah besar individu tanpa kewarganegaraan.
Gabungan NGO di Sabah bulan lepas mendakwa terdapat “sekurang-kurangnya 800,000 individu tanpa warganegara” di negeri ini.
November lalu, NGO Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar Malaysia berkata kaum India adalah yang paling terjejas di Semenanjung dengan 12,392 individu tanpa kerakyatan yang dicatatkan antara 2014 hingga 2017.
Ia berkata dari jumlah tersebut, hanya 2,225 memperoleh kewarganegaraan.
Daripada 12,392 individu tanpa kerakyatan itu, 4,522 adalah kanak-kanak sehingga berumur 17 tahun, 3,227 orang dewasa berusia 18 hingga 59 tahun, dan 4,643 adalah warga tua berusia 60 tahun ke atas.
Bagi warga tua itu, 40% dilahirkan di Malaysia manakala 60% lagi tiba di negara ini sebelum kemerdekaan pada 1957.