Enggan tarik balik Umno ‘samseng’, speaker arah Ramkarpal keluar

Enggan tarik balik Umno ‘samseng’, speaker arah Ramkarpal keluar

Ramkarpal merujuk kepada kejadian bapanya diserbu sekumpulan Pemuda Umno pada Februari 2009.

KUALA LUMPUR:
Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) keluar Dewan Rakyat selepas beliau enggan menarik balik perkataan “samseng” terhadap ahli-ahli Umno.

Ariff hari ini diuji dengan ketegangan pertamanya di dalam Dewan Rakyat apabila wakil-wakil rakyat pembangkang mendesak Ramkarpal menarik balik perkataan “samseng” terhadap ahli-ahli Pemuda Umno yang mengasari seorang bekas wakil rakyat yang berkerusi roda.

“Saya tidak akan tarik balik. Maaf, speaker,” kata Ramkapal.

Beliau merujuk kepada kejadian yang menimpa bapanya, Karpal Singh, yang diserbu sekumpulan Pemuda Umno di Parlimen pada Februari 2009, selepas menyalahkan sayap parti Melayu itu atas ancaman bunuh yang diterimanya berikutan kenyataan mengenai krisis kerajaan di Perak.

“Betara, sila jalankan tugas,” kata Ariff kepada para pegawai Dewan Rakyat untuk mengeluarkan Ramkarpal.

Terdahulu, Johari Abdul (PH-Sungai Petani) ketika membahaskan titah Agong menyeru Parlimen diperkasakan agar peristiwa buruk yang pernah berlaku tidak berulang.

Ramkarpal bangun dan memberikan contoh peristiwa yang menimpa bapanya, serta peristiwa Khalid Samad (PH-Shah Alam) diserbu sekumpulan pemuda dari Pasir Salak di Parlimen pada November 2016, kerana memanggil  Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) “sial”.

Khalid berkata demikian apabila Tajuddin berkata Teresa Kok (PH-Seputeh) “satu-satunya wanita dengan Kok”.

Ramkarpal berkata peristiwa seperti itu menunjukkan tingkah laku samseng oleh ahli-ahli Pemuda Umno.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh para wakil rakyat BN, yang mendesak Ramkarpal menarik balik perkataan itu, dan turut menggelarnya “samseng”.

Ariff meminta kedua-dua belah wakil rakyat pembangkang dan kerajaan menarik balik perkataan “samseng” tetapi Ramkarpal enggan.

Sebaik sahaja dia dikeluarkan, wakil rakyat pemerintah tidak berpuas hati kerana Datuk Bung Moktar (BN-Kinabatangan) tidak dikeluarkan.

Bung menarik balik kata-katanya, dan Ariff meminta sidang Dewan Rakyat diteruskan. Ramkarpal dijangka kembali esok memandangkan dia tidak digantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.