
S Arutchelvan yang juga ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menerangkan jenis barang dan perkhidmatan yang akan dikenakan SST serta dikecualikan cukai.
“SST sewajarnya dikenakan untuk perkhidmatan yang mewah. Tidak sewajarnya jika cukai turut dikenakan kepada restoran seperti restoran mamak. SST tidak sepatutnya membebankan rakyat dan ini adalah perkara yang PH harus tangani.
“Kerajaan tidak boleh laksanakan cukai seolah-olah hanya menukar nama sahaja, tetapi harga barang masih tinggi,” katanya kepada FMT hari ini.
Kerajaan PH berjanji akan menghapuskan GST menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 dan Kementerian Kewangan menurunkan kadar GST kepada 0% mulai 1 Jun lalu.
Kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan GST pada kadar 6% mulai 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan SST akan meliputi cukai jualan 10% dan perkhidmatan 6%, berkuat kuasa 1 September ini.
Katanya, kerajaan menjangkakan SST menyumbang RM4 bilion kepada pendapatan negara menjelang hujung tahun ini dan Rang Undang-undang SST dijangka diluluskan di Parlimen bulan depan.
Hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan kerajaan memperkenalkan semula SST untuk menggantikan GST kerana ia tidak sama dengan GST yang menyebabkan harga barangan lain turut meningkat.
Yang di-Pertuan Agong turut menyokong tindakan kerajaan PH menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak serta memberi bantuan sara hidup dalam usaha meringankan beban rakyat.
Seorang lagi aktivis, Khalid Mohd Ismath membantah keputusan kerajaan melaksanakan semula SST kerana mendakwa ia tidak membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengadakan protes sekali lagi untuk membela nasib rakyat.
“Kita faham kerajaan perlukan cukai untuk terus memerintah, namun bagi saya, kita tidak boleh sama sekali kembali kepada cara zaman Barisan Nasional memerintah.
“Dengan kadar peratus yang tinggi, iaitu 10%, saya yakin ini tidak akan membantu mengurangkan harga barang di pasaran.”
Arutchelvan dan Khalid antara 54 individu yang ditahan polis ketika menyertai Himpunan Duduk dan Bantah GST di perkarangan ibu pejabat Kastam Kelana Jaya, pada 23 Mac 2015.
Penganjur himpunan itu, Gabungan Bantah GST pada mulanya bercadang menyerahkan memorandum kepada Kastam Kelana Jaya, tetapi keadaan menjadi kecoh selepas pertengkaran berlaku antara polis dan sekretariat Bantah GST.