Jangan mendiskriminasikan orientasi seksual, kata Mujahid

Jangan mendiskriminasikan orientasi seksual, kata Mujahid

Menteri hal ehwal Islam berkata aktivis yang dikaitkan dengan LGBT, Numan Afifi, "tidak mencabar sistem".

Free Malaysia Today
Mujahid Yusof Rawa, menteri hal ehwal agama. (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa, hari ini mempertahankan Numan Afifi, yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai pegawai media kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas dikecam kerana aktivismenya yang dikaitkan dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

“Mana-mana warganegara Malaysia adalah bebas dan tidak boleh didiskriminasikan di tempat kerja.

“Dalam soal orientasi seksual, dia duduk diam dan tidak mencabar sistem,” katanya kepada pemberita di ruang legar Dewan Rakyat hari ini ketika diminta mengulas keadaan itu.

Numan sebelum ini berkata dia tidak mempunyai pilihan selain meletak jawatan sebagai pegawai media sementara kepada Syed Saddiq.

Beliau berkata kecaman dan ancaman daripada “propagandis pembangkang” menyukarkan dia menjalankan tugas.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam berkata Numan tidak mencabar sistem.

“Tetapi kalau dia membuat pengisytiharaan secara terbuka dan berbangga melakukannya, itu akan menimbulkan masalah dengan nilai-nilai masyarakat kita dan juga undang-undang negara,” tambahnya.

Mujahid tidak mahu mengulas lanjut kerana Numan meletak jawatan atas kerelaan sendiri.

“Dia perlu buktikan jika ada sebarang tekanan,” katanya.

Mujahid menambah satu cara menangani masalah berbangkit ialah melalui dialog proaktif dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.