Umno tuntut maklumat wang dirampas dari premis keluarga Najib

Umno tuntut maklumat wang dirampas dari premis keluarga Najib

Peguam Umno mengeluarkan surat kepada polis mendakwa 'sebahagian besar' wang yang dirampas itu milik Umno dan tiada sebarang kaitan dengan kes 1MDB atau SRC.

Free Malaysia Today
Umno cuba mendapatkan kembali kira-kira RM116.7 juta yang dirampas polis dalam serbuan ke atas beberapa premis dikaitkan dengan keluarga Najib Razak.
PETALING JAYA:
Umno melalui peguamnya mengeluarkan surat kepada polis untuk mendapatkan dokumen dan maklumat berhubung RM116.7 juta yang dirampas dari sebuah premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kami sudah beri tempoh munasabah 7 hari kepada polis untuk memberikan dokumen yang dikehendaki,” kata peguam dalam satu kenyataan.

“Anak guam kami menegaskan sebahagian besar wang yang dirampas itu milik Umno dan tiada sebarang kaitan dengan kes 1MDB atau SRC.”

Pada 11 Julai lalu, Umno dilaporkan melantik peguam terkenal, Datuk Hariharan Tara Singh dalam usaha mendapatkan kembali kira-kira RM116.7 juta yang dirampas pihak berkuasa.

Ketua Unit Undang-undangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sepasukan peguam yang diketuai Hariharan sedang mempertimbangkan pelbagai aspek dalam menuntut wang itu yang didakwa milik Umno.

Pelbagai mata wang merupakan sebahagian daripada barang mewah dan wang tunai lebih RM1 bilion yang dirampas polis dari beberapa hartanah dikaitkan dengan keluarga Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.