
Pengarah Operasi (Kewangan) Tabung Haji (TH) Nor Aida Ahmad berkata jumlah paling sesuai untuk dibawa ketika itu adalah sekitar 500 riyal bagi kegunaan jemaah selama beberapa hari selepas tiba, bergantung kepada keperluan mereka.
“Selepas itu jemaah boleh membuat pengeluaran wang daripada akaun TH masing-masing di kaunter kewangan yang disediakan, di zon penginapan dan maktab-maktab,” katanya ketika ditemui di pejabat operasi TH Madinah, di sini hari ini.
Bagi tujuan pengeluaran wang semasa di Tanah Suci, beliau berkata jemaah hanya perlu membawa tag yang diberikan TH ke kaunter pengeluaran wang yang ditetapkan dan had pengeluaran bagi setiap jemaah sehari adalah 5,000 riyal.
Semua transaksi, katanya adalah dalam riyal dan kaunter itu tidak menyediakan khidmat tukaran wang ringgit ke riyal.
Nor Aida berkata sebanyak 9 kaunter pengeluaran wang disediakan di Madinah iaitu 4 di Zon 1 (Hotel Al Haram), 3 di Zon 2 (Hotel Movenpick) dan 2 di Zon 3 (Hotel Rowadha Al Aqiq).
Beliau turut memberi jaminan khidmat kaunter yang disediakan adalah cepat iaitu kira-kira seminit untuk setiap transaksi.
“Seramai 47 petugas disediakan iaitu 40 juruwang; 9 di Madinah dan 31 di Mekah manakalanya selebihnya untuk kerja pengurusan,” katanya.
Beliau berkata selain pengeluaran dan menyimpan wang, kaunter itu juga menyediakan khidmat membayar dam dan korban.
Katanya pada tahun ini bayaran dam yang ditetapkan ialah 430 riyal manakala untuk korban kibas 475 riyal dan lembu 4,150 riyal.