Maszlee: Iktiraf UEC tanpa jejas bahasa Melayu

Maszlee: Iktiraf UEC tanpa jejas bahasa Melayu

Perlu mengambil kira kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan impak pengiktirafan tersebut yang mungkin menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.

Free Malaysia Today
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan hari ini menegaskan sekali lagi bahawa sebarang keputusan berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan bersifat komprehensif dan holistik, tanpa menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

“Sebelum melaksanakan pengiktirafan ini, kita perlu mengambil kira isu kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jika ada sebarang impak daripada keputusan pengiktirafan tersebut yang akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.

“Justeru, pandangan daripada pelbagai pihak adalah amat penting dan interaksi kementerian bersama pihak berkenaan tetap menjadi keutamaan saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

UEC ialah sijil yang dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.