
DAP tidak akan sesekali menjadi “MCA 2.0” kata seorang daripada mereka, sebagai menjawab dakwaan Yap dalam temu bual dengan FMT bahawa pemimpin DAP berhadapan risiko menjadi seperti MCA setelah kelihatan bungkam dalam isu yang pernah mereka perjuangankan selepas mendapat kuasa.
Ketua Biro Wanita dan Pendidikan Politik DAP, Tiew Way Keng berkata, Yap tidak perlu bimbang kerana DAP bukan seperti MCA.
“DAP tidak akan jadi ‘MCA 2.0’ kerana kami memperjuangkan Malaysia untuk rakyat Malaysia, bukannya parti berasaskan kaum,” katanya, selain menambah adalah terlalu awal dan pramatang bagi Yap membuat membuat telahan sedemikian sewaktu Pakatan Harapan (PH) baru sahaja memimpin kerajaan persekutuan.
Pemimpin DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid berkata, adalah mudah bagi sesetengah pihak menghodohkan hubungan DAP dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Yap sebelum ini berkata, pemimpin DAP kini senyap kerana mereka “takut” kepada Dr Mahathir.
“Kenyataan beliau tidak masuk akal. PH terutamanya DAP sentiasa lantang menyuarakan isu, dan tidak senyap seperti dakwaannya,” kata beliau.
Beliau menambah, “sebagai kerajaan persekutuan, tentulah ini juga bermakna kita perlu menggunakan kaedah berbeza dalam membuat keputusan bersama”, sesuatu yang tidak diperhitungkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Pengerusi Pemuda Sosialis DAP, Wong Kah Woh berkata, kenyataan Yap mengesahkan kegagalan MCA mempertahankan hak rakyat.
“Jelas sekarang PH sedang memenuhi janji manifestonya,” katanya, dengan mengemukakan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan inisiatif lain sebagai bukti.
Beliau menolak dakwaan Yap bahawa menteri pendidikan membuat pusingan U berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sekolah persendirian Cina.
Wong berkata, menteri berkenaan, Dr Maszlee Malik menegaskan tidak akan membuat pusingan U. “Kami tidak akan mengambil masa 60 tahun seperti BN dan tidak berbuat apa-apa mengenai UEC,” katanya.