KDN: Permintaan negeri atasi isu kanak-kanak tanpa sijil lahir dikaji

KDN: Permintaan negeri atasi isu kanak-kanak tanpa sijil lahir dikaji

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Aziz Jamman berkata permintaan itu perlu diteliti sebelum keputusan dibuat kerana kemungkinan ada implikasi tertentu, termasuk perubahan akta atau undang-undang.

Free Malaysia Today
Aziz berkata, permintaan Sarawak dikaji di peringkat kementerian kerana dalam Perjanjian Malaysia 1963, ada kuasa tertentu yang sepatutnya dijalankan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Gesaan Sarawak supaya kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu perlu dikaji, termasuk dari sudut implikasi perundangan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Aziz Jamman.

Beliau berkata perkara tersebut perlu dibincangkan dan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat kerana berkemungkinan akan ada implikasi tertentu, termasuk melibatkan perubahan akta atau undang-undang sekiranya gesaan berkenaan ditunaikan.

“Permintaan mereka (Sarawak) ini, di peringkat kementerian perlu dikaji kerana sebagaimana kita tahu dalam Perjanjian Malaysia 1963, ada kuasa-kuasa tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, yang pastinya, jika Sarawak minta (kuasa diserahkan kepada kerajaan negeri menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak), saya fikir Sabah pun pasti akan minta (perkara sama),” katanya kepada pemberita pada program turun padang di Pasar Manggatal di sini, hari ini.

Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan berkenaan yang disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang Lo Khere Chiang dalam sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Khamis lalu.

Lo menggesa kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa sijil kelahiran di negeri itu memandangkan angka ketiadaan sijil lahir yang dikeluarkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri pada awal tahun ini cukup membimbangkan.

Mengenai program itu, Aziz yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, program gotong-royong selama 3 hari itu antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada para peniaga pasar berkenaan serta masyarakat setempat supaya sentiasa mengutamakan kebersihan kawasan sekitar.

Beliau berkata lebih 200 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menyertai aktiviti gotong-royong yang bermula seawal jam 6 pagi tadi.

Program gotong-royong seumpama itu akan diperluas ke daerah lain ke arah mendidik masyarakat sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.